• Hidup Dalam Bersederhana

    Saya kadang-kadang cuba memahami, namun banyak kali saya gagal untuk cuba mengintai sedikit titik persamaan atau noktah kepada sengketa ini. Dan akhirnya saya hanya mampu memerhati, membaca, menilai dan menulis kesimpulan dalam diri sendiri sahaja...

  • Amanah Kita Bersama

    Masing-masing membuat suatu pekerjaan berdasarkan pada kekuatan, kemampuan serta kepakaran. Kemudian kepakaran itu dikongsi untuk perolehan manfaat bersama. Inilah sikap umat Islam yang saling menguatkan...

  • Jangan Mudah Menghukum

    Bersangka baik adalah pendirian dan sikap kita yang pertama. Jika didatangkan bukti dan fakta yang jelas tentang sesuatu kesalahan, barulah tindakan mampu dikenakan, kritikan dapat dilakukan terhadap mereka yang bersalah...

  • Itukan Hukum Allah

    Apabila orang jahil berbicara tentang agama, akan bertambah rosaklah agama di tangan mereka. Di sini, saya menentang video ini dengan hati, lisan dan tulisan sebagai tangan saya. Sungguh benci dan sangat bersimpati juga dengan pelakon- pelakon video ini. Adakah mereka sedar akan keceluparan skrip yang diucap...

Hidup Dalam Bersederhana

5M

A peaceful dawn captured in Marang, Terengganu

Orang politik rancak berkelahi sekarang ini. Tidak kurang pula orang-orang agama
yang nampaknya sedang ligat berbalah sekarang. Saya sebagai penuntut jurusan
agama sendiri pun pening, dan mungkin ramai sahabat di luar sana juga serupa.

Tuduh-menuduh kini adalah perkara biasa. Lebih parah, kafir-mengkafirkan.

Apabila menular virus kafir-mengkafirkan antara mazhab dan aliran, maka
kita akan melihat pintu permusuhan dibuka seluas-luasnya. Ini realiti yang
berlaku di negara-negara umat Islam. Bahkan lebih malang apabila umat
Islam bersikap keras terhadap sesama sendiri. Sedangkan pada waktu
yang sama, mereka cukup lunak dengan musuh-musuh Islam (sebenar).
(Dr. Muhammad Imarah / Soihah Nazhir min Fitnah At-Takfir)

Saya kadang-kadang cuba memahami, namun banyak kali saya gagal untuk cuba
mengintai sedikit titik persamaan atau noktah kepada sengketa ini. Dan akhirnya
saya hanya mampu memerhati, membaca, menilai dan menulis kesimpulan dalam
diri sendiri sahaja. Cukuplah dengan berdiam diri, semoga ia lebih baik daripada
turut terjerumus dalam kancah perselisihan yang makin mengundang fitnah pada
akhir zaman ini.

Sahabat-sahabat di luar sana, hiduplah dengan bersederhana. Bersederhanalah
dalam beragama serta jangan melampaui batas-batas syariat-Nya.

Sebaik-baik urusan itu adalah dengan bersederhana.
(Riwayat Imam Al-Baihaqi / Al-Kubra)


Jauhi perdebatan, elakkan pergaduhan, dahulukan perdamaian, utamakan perkara
yang mendidik persefahaman, tolaklah ketaksuban, terbuka menerima perbezaan
serta peliharakan pena dan lisan. Sesungguhnya kebaikan itu pasti tiba masanya
akan membuang segala keburukan.

Dan kepada yang kurang arif, rajin-rajinkan diri bertanya dan mendapat pencerah-
an dari golongan yang bijaksana. Niatkan tujuan mencari kebenaran, bukan untuk
menuntut kemenangan serta menurut hawa nafsu semata-mata. Kemudian pada
akhirnya, tentukan pilihan anda berlandaskan ilmu dan iman.

Maka bertanyalah kepada golongan yang mengetahui
jika kalian tidak tahu. (Surah An-Nahl : 43)

Jika masih tidak keliru, maka berdiam diri adalah jalan yang selamat. Itu adalah
lebih baik dan jujur di sudut pandang agama. Katakan saja, saya tidak tahu. Ia
mudah dan memudahkan. Buang sikap buat-buat pandai dalam perkara agama.

Jangan malu apabila ditanyakan sesuatu perkara yang
tidak diketahui, lalu mengaku : saya tidak tahu.
(Al-Muhasibi / Risalah Al-Mustarsyidin)

Semoga Allah memelihara iman kita bersama. Salam Jumaat yang mulia.

Almizzi,
Marang, Terengganu,
22 Disember 2011,
Jam 2151.

Amanah Kita Bersama

4M
The Mosque of Sultanahmet, Istanbul

Saya bukanlah pakar dalam politik dan kecenderungan saya terhadapnya adalah
berkadaran sahaja. Masing-masing membuat suatu pekerjaan berdasarkan pada
kekuatan, kemampuan serta kepakaran. Kemudian kepakaran itu dikongsi untuk
perolehan manfaat bersama. Inilah sikap umat Islam yang saling menguatkan.

Katakanlah : Tiap-tiap orang berbuat amalan menurut
keadaan
masing-masing. Maka Tuhanmu lebih mengetahui
siapa yang
lebih benar jalannya. (Surah Al-Israk : 84)

Rasulullah s.a.w juga telah berpesan kepada kita :

(Perumpamaan) seorang mukmin kepada mukmin yang lain adalah
seperti suatu binaan, ia saling mengukuhkan antara satu sama lain...
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Apa yang saya kongsikan sebelum ini sedikit berkaitan politik, maka ia sebenar-
nya lebih menjurus kepada sikap ambil berat dan tanggungjawab saya dalam isu
berkenaan urusan umat Islam dalam negara bertuah ini. Jika seorang muslim itu
tidak cakna akan urusan saudara seagama, siapa lagi yang boleh diharapkan?

Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang suatu urusan
kaum muslimin, maka dia bukanlah dari kalangan kaum itu...

(Riwayat At-Tabrani / Al-Ausat dan As-Soghir)


Cukuplah dengan ambil tahu sekadar mampu. Jangan tidak tahu langsung.

2M
The Museum of Hagia Sophia / Ayasofya and The New Mosque
viewed from the Galata Tower


Saya pasti ramai sudah mengetahui tentang berita perkahwinan seorang pelajar
lelaki, rakyat Malaysia di Dublin, Ireland dengan pasangannya yang juga adalah
seorang lelaki. Bekas pelajar tajaan Petronas tersebut dikhabarkan hilang oleh
ahli keluarga sebelum ini. Kini apabila dah dikesan, dukacita pula ceritanya.

Amat menyedihkan. Kita tidak mahu bala daripada Allah menimpa seluruh umat
Islam di Malaysia disebabkan perbuatan melampaui batas sebahagian manusia
yang terpesong dari hidayah-Nya. Ingatlah kisah kaum Nabi Lut yang dilenyap-
kan dari muka bumi akibat perbuatan terkutuk mereka sendiri :

Sesungguhnya apabila tiba (waktu perlaksanaan) perintah Kami (Allah),
Kami jadikan negeri kaum Lut itu terbalik (tertimbus segala yang ada di
muka buminya), dan Kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah
yang dibakar lalu menimpa mereka bertalu-talu.
(Surah Hud : 82)

Terkini dilaporkan bahawa saudara Ariff Alfian masih mengaku sebagai seorang
muslim. Jadi itu adalah khabar yang sedikit menggembirakan.

Usaha kita yang mampu dilakukan adalah berdoa, semoga saudara ini dikurnia-
kan hidayah dan taufiq oleh Allah agar kembali bertaubat dari perbuatan dosa
tersebut. Kita juga berlindung dengan Allah, moga dijauhkan diri dan keluarga
serta saudara-saudara Islam dari berbuat maksiat yang serupa.

Pintu taubat masih terbuka luas untuknya kembali ke jalan Tuhan. Ameen.

3M
The Mosque of Sulaiman / Suleyman / Suleymaniye, Istanbul

Akhirnya, suka saya kongsikan satu link video yang telah ditonton baru-baru ini.
Ia adalah tazkirah ringkas dan ulasan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman berkaitan
fesyen muslimah : Antara trend dan hukum. Satu perbahasan yang disampaikan
dengan cukup baik oleh seorang ilmuan Islam yang dihormati di tanah air. Moga
Allah memberkati usaha murni beliau dalam berdakwah.

Sila klik di sini : Fesyen Muslimah

Seseorang yang berada pada tahap muslim masih gemar membicarakan tentang
fesyen. Manakala mereka yang berada pada tahap mukmin dan muttaqin sejati
tidak lagi sibuk berbicara tentang fesyen dalam kehidupan.

Kerana mereka lebih sibuk berbicara, bagaimana untuk mencantikkan iman-iman
mereka. Dan golongan ini akan berhabis wang dan berbelanja semata-mata ingin
menghias kecantikan iman dan ilmu dalam diri mereka.

Saya sungguh tertarik dengan kenyataan di atas. Anda bagaimana?

Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada sifat luaran dan fizikal
tubuh kami. Tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu.
(Riwayat Imam Muslim)

Tak perlu kecoh tentang isu tudung menyerupai rahib atau tidak. Pakai sahajalah
jilbab, tudung litup atau tudung bawal yang labuh. Akan sejuk mata memandang.
Allah lebih suka, manusia pun selesa, dan bahaya fitnah dapat dipelihara.

Saya sebagai seorang lelaki biasa pun, lebih selesa memandang muslimah yang
bertudung labuh. Tak kiralah apa nama tudung sekalipun. Cuma fesyen tudung
terkini yang agak popular hari ini gagal mendapat tempat di hati saya. Hehe...

Semoga kita beroleh ilmu dan manfaat untuk kebaikan bersama.

Almizzi,
Marang, Terengganu,
21 Disember 2011,
Jam 1805.

Jangan Mudah Menghukum

2M
The Museum of Hagia Sophia / Ayasofya , Istanbul

Terdahulu, saya ingin mengambil peluang mengucapkan selamat keberangkatan
balik kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah ke Terengganu
Darul Iman, setelah sempurna tempoh pemerintahan Baginda sebagai Yang di-
Pertuan Agong ke-13 pada 12 Disember baru-baru ini.

Dan saya juga ingin merakam setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Seri Paduka
Baginda Tuanku Abdul Halim Mu'adzam dan Tuanku Haminah Hamidun sempena
perlantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dan Raja Permaisuri Agong.

Semoga beroleh hidayah dan taufiq daripada-Nya sentiasa. Daulat Tuanku.

1M
Old woman feeding birds near The New Mosque, Istanbul

Baru-baru ini, komuniti Islam di Malaysia dikejutkan dengan 2 buah video yang
pada saya hampir jelas mempertikai dan mempersendakan hukum hudud yang
rasanya telah diketahui umum akan pensyariatannya di dalam Al-Quran.

Saya tidak berasa begitu hairan jika masyarakat kita hari ini berbalah disebabkan
perbezaan politik, tetapi begitu hairan dengan sikap dan tindakan sesuatu pihak
yang mempergunakan agama sebagai bahan cemuhan dan hinaan dalam politik.

Chua Soi Lek sebelum ini secara jelas memperlekeh hukum Allah, saya tidaklah
begitu terkejut kerana dia bukan Islam. Tapi jika orang mengaku Islam itu sendiri
yang melakukan perbuatan yang sama, maka pasti ia menyedihkan. Mudah cakap,
pemain bola sepak Malaysia buat gol sendiri, semestinya kita marah dan kecewa.

Namun, mari kita bermuhasabah sejenak. Pernahkah kita berbuat kesilapan ini?

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mencela golongan yang
menyembah selain Allah (kerana perbuatan kamu itu) menyebabkan mereka
juga mencela Allah dengan rasa permusuhan kerana kejahilan mereka.
(Surah Al-An'am : 108)

Jika pernah berbuat, elakkan ia daripada berulang di lain hari.

Alhamdulillah
, tampil banyak pihak mengecam perbuatan tersebut dan membuat
laporan polis seperti GAMIS dan DPPNK. Namun jauh di sudut hati, saya sangat
tertanya-tanya : Apakah pendirian kerajaan pemerintah terhadap isu ini bahkan
di manakah peranan dan tugas ilmuan muda di dalamnya?

Anda lebih berkuasa dalam perkara ini. Tidak perlu untuk menarik tangan pihak
yang terlibat ke belakang tabir untuk ditegur barulah dikenakan tindakan kerana
pihak terbabit bukanlah raja atau penguasa. Nasihat dan tindakan berhadapan
adalah wajar ketika ini, mengenepikan sebarang perselisihan politik. Tunjukkan
bahawa ruang dakwah anda benar-benar terbuka luas. Jadi kita mampu seiring
dan sejalan mencegah pekerjaan mungkar ini.

Sesiapa di antara kamu menyaksikan perbuatan mungkar, maka tegahlah perkara
tersebut dengan tangannya. Jika kamu tidak mampu, maka (tegahlah ia) dengan
lisannya. Jika kamu tidak mampu, maka (tegahlah ia) dengan hatinya. Demikian
itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Imam Muslim)

Menegur dan menasihati pemerintah secara langsung adalah tugas besar yang
dipikul oleh ilmuan-ilmuan muda tersebut. Namun tersangat baik jika diperuntuk-
kan juga ruang untuk mereka ini turun melibatkan diri dalam isu-isu terkini yang
membarah dan mencemarkan kesucian Islam dalam masyarakat seperti apa yang
menjadi buah mulut sebahagian besar rakyat Malaysia pada hari ini.

Jangan sekadar membenci di dalam hati. Tidak bertepatanlah dengan kedudukan,
kekuatan serta ruang yang ada pada anda sekarang. Setiap anggota masyarakat
ingin melihat, memerhati dan menilai gerak kerja dan peranan anda. Sekurang-
kurangnya mereka menjadi saksi bahawa anda turut turun padang bersama-sama
menzahirkan sikap tanggungjawab terhadap realiti yang berlaku sekarang.

Tentukan keutamaan. Namun jangan diabaikan apa yang menjadi sampingan.

Dia (Muhammad s.a.w) bermasam muka dan berpaling. (Kerana) telah datang
kepadanya seorang lelaki buta. Apakah kamu tahu barangkali dia datang kerana
ingin mensucikan dirinya? Atau dia ingin mengambil peringatan lalu peringatan
itu bermanfaat kepadanya?

Sedangkan orang-orang yang kaya itu, kamu menghadapi mereka. Padahal kamu
tidak sesekali berdosa jika mereka tidak mensucikan diri (menganut Islam).
Manakala orang yang bersegera mendatangi kamu. Dan dia takut kepada Allah.
Maka kamu (pula) berpaling daripadanya.

Maka jangan sama sekali (berbuat begitu), sesungguhnya ayat-ayat Allah itu
adalah suatu peringatan. (Surah 'Abasa : 1-11)

Rajinkan diri untuk merujuk sebab turunnya ayat-ayat ini, pasti amat bermanfaat
untuk mendidik kita supaya bijak merancang keutamaan di samping turut ambil
cakna tentang perkara-perkara sampingan. Bijak dan adil menentukan prioriti.

Sesungguhnya Rasulullah itu adalah contoh terbaik untuk kita semua.

3M
Walk in the park outside of the Mosque of Sultanahmet, Istanbul

Akhirnya, mari kita menghayati potongan hadis ini :

Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk menebuk semua hati manusia
dan membelah perut-perut mereka... (Riwayat Imam Bukhari)

Bersangka baik adalah pendirian dan sikap kita yang pertama. Jika didatangkan
bukti dan fakta yang jelas tentang sesuatu kesalahan, barulah tindakan mampu
dikenakan, kritikan dapat dilakukan terhadap mereka yang bersalah.

Elakkan amalan kita pada hari ini : bersangka buruk didahulukan dalam segenap
aspek. Orang berbuat salah ditegur dan dimarahi, namun apabila orang berbuat
baik, dipertikaikan pula sifat amanah dan ikhlas orang itu tanpa sebarang bukti,
alasan atau hujah yang jelas. Mungkin masyarakat hari ini sungguh kasyaf!

Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sikap prasangka
kerana sebahagian sikap prasangka itu adalah (menyebabkan) dosa...
(Surah Al-Hujurat : 12)

Bersangka baik tidak mengapa serta digalakkan. Manakala bersangka buruk pula
adalah dilarang selagi tidak ada hujah dan bukti untuk menunjukkan bahawa prasangka
tersebut benar-benar berlaku dalam setiap antara kita.

Ingatlah, seorang muslim tidak terlalu mudah menghukum.

Almizzi,
Marang, Terengganu,
15 Disember 2011,
Jam 0818.

Luangkan sedikit masa menonton video ini. Satu usaha pantas yang amat baik
dari satu pihak untuk menjelaskan persoalan yang berlaku dalam masyarakat
berkenaan hukum hudud, sekaligus menjawab kekeliruan yang telah ditimbulkan
oleh video-video Sembang Rakyat.

Sila klik di sini : Oley!!

Ucapan tahniah daripada saya kepada pihak yang menjayakan usaha murni ini.