Pada satu zaman yang tercemar oleh kerosakan dan perpecahan umat Islam tidak
kira ia berlaku kepada orang awam atau penuntut ilmu syariah, apakah cara yang
baik serta sesuai untuk saya membina manhaj atau pendirian? Siapakah ilmuan
agama yang dapat saya ikut dan mengambil manfaat? Semoga Allah memberkati
jalan ini :
1- Bertanya kepada Ahlu Az-Zikr tentang apa yang kita tidak tahu.
Bertanya atau rujuklah pendapat dan perkataan para ulama yang thiqah bahkan
dipercayai. Ijazah atau PhD bukan kriteria utama seseorang dari mereka, namun
ilmu serta pengetahuan yang benar itu yang didahulukan.
Rujukan di alam internet juga luas, tetapi face to face jauh lebih baik. Janganlah
pula meminta pendapat tentang hukum hudud daripada seorang artis.
2- Kaji dan nilai apa yang terbaik didasari ilmu, bukan nafsu.
Maka ikhlas itu sangat penting. Jika bertemu dua pendapat berbeza atau lebih,
cubalah, rajinkanlah diri untuk memperbanyak rujukan. Tidak mampu? Peganglah
suatu pendapat ulama yang diyakini. Dan amalkan sikap keterbukaan menerima
pendapat berbeza dari pihak lain, selagi perbezaan itu diiktiraf syarak.
Jangan malu untuk berubah jika kita berbuat salah.
3- Berbincang akan ilmu dengan ilmu, disertakan adab dan bijaksana.
Ilmu tanpa adab, orang sukar untuk percaya. Adab tanpa ilmu, ghuluw atau sikap
melampau-lampau boleh berlaku. Maka peliharalah kedua-duanya. Kebijaksanaan
juga penting untuk bergerak lebih ke hadapan, memahami perkataan para ulama
yang kekadang berbeza disebabkan suasana persekitaran.
Lahirlah golongan yang kontemporari, muncul pula golongan yang literal. Mana
satu yang betul? Pendapat saya : Satu ketika, akan ada pendapat satu pihak
yang lebih tepat dan jitu. Satu ketika juga, kedua-dua golongan ini mempunyai
pendapat yang benar. Namun ringkasnya, ada pihak ingin menyesuaikan suatu
hukum itu dengan keadaan manakala satu pihak lagi ingin menyesuaikan suatu
keadaan dengan hukum. Jujur, kadang-kadang saya turut keliru.
Perlu lebih pencerahan kerana bab ini juga, adakalanya menyebabkan berlaku
perbalahan dan perselisihan agak kritikal antara penuntut ilmu. Wallahu 'alam.
4- Elakkan sangka buruk, kritikan melulu dalam membuat penilaian.
Ingin sangat highlight perkara ini. Saban hari, saya ada juga membuka laman
web awam/biasa atau yang bersifat agama untuk membaca berita semasa atau
hal ehwal semasa, namun betapa banyak yang mengecewakan saya.
Mengetepikan hal politik, saya sangat benci dengan sikap sesetengah pihak
berstatus agamawan, lebih-lebih lagi sikap anak-anak murid para agamawan
yang cepat melatah, cepat mencaci, cepat menghina. Semuanya cepat!
Niat mereka baik. Mungkin ingin menjaga aib, menjaga nama baik atau maruah
guru/gerakan yang mereka hormati dari segala tohmahan, namun tidak kena
pula caranya. Ucapan 'kamu bodoh' berbalas 'kamu bodoh' juga.
Marah itu ada caranya. Gunalah cara yang berpahala. Apa salahnya membalas
penghinaan itu dengan adab yang baik serta hujah yang lantang. Kemudian
kita berlepas diri, beristighfar jika ada kesalahan dan kelemahan dalam diri.
5- Jika tidak mampu kesemuanya, diamlah dan teruskan belajar.
Perkara (Diam) ini adalah bab yang paling sukar. Semoga kita berusaha untuk
mengamalkannya. Elakkan diri menempah kerusi dari api neraka dek berdusta
terhadap ucapan dan ajaran Rasulullah.
Beriman kepada Allah dan hari akhirat? Ucapkanlah kata-kata yang baik atau
diam sahaja.
Alhamdulillah, selesai sudah 5 perkara.
Akhir penulisan, suka saya berkata : Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Ustaz
Asri Zainal Abidin, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Ustaz Zahazan Mohamed, Ustaz
Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ustaz Abdul Basit Abdul Rahman, Ustaz Maulana Asri,
Ustaz Azhar Idrus, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Ustaz
Fathul Bari, Ustaz Hafiz Firdaus adalah di antara ilmuan-ilmuan Islam Malaysia
yang saya kenal dan menjadi rujukan dalam selok-belok agama.
Manakala Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Ali Jumaah, Syeikh Wahbah Zuhaili,
Syeikh Nasiruddin Al-Albani, Syeikh Al-Uthaimin, Syeikh Atiyyah Saqar, Syeikh
Abdul Rahman As-Sudais adalah di antara ilmuan-ilmuan Islam luar negara yang
saya rujuk dan baca karangan-karangan mereka.
Ketahuilah bahawa pendapat mereka masing-masing mungkin berbeza. Kadang-
kadang pula, ada pendapat mereka masing-masing berubah mengikut peredaran
waktu dan masa.
Suatu ketika saya mungkin merujuk dan berpegang dengan pengajaran seorang
ulama dalam satu perkara. Suatu ketika pula, mungkin saya meninggalkan
pendapat beliau dan berpegang kepada pendapat ulama yang lain. Ia berlaku
dan tidak mustahil bagi seorang muslim berstatus mukallid, muttabi' ataupun
mujtahid juga.
Hanya satu perkara yang sama :
Saya menghormati kesemua mereka, bahkan tidak redha mereka difitnah apatah
lagi dikeji dan dihina. Sungguh zalim jika ada manusia berbuat demikian.
Suatu sudut, ikhtilaf ummati rahmah itu benar, jika diadakan dengan sederhana
dan rasa rendah diri menerima perbezaan. Bukanlah dengan rasa sombong serta
taksub yang menjauh dari insaf, kesalahan yang tiada penghujung.
Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara.
Almizzi,
Marang, Terengganu,
21 November 2011,
Jam 2132.