1- Memelihara lisan kita, sama ada pada percakapan atau pena.
Ramai manusia menempah tiket ke neraka dek celuparnya percakapan dan lidah
tak bertulang itu, serta ligatnya pena mereka menari untuk mencerca manusia
membelakangkan acuan Al-Quran dan sunnah. Kaum perempuan sangat utama
dalam isu ini. Berdebat biar beradab, berbahas biar berhemah.
Imam Malik pernah ditanya banyak soalan, namun beliau menjawab beberapa
sahaja. Bakinya beliau menjawab: Aku tidak tahu. Rahimahullah. Jangan kita
ini pula suka memandai-mandai dalam berbicara, apatah lagi berhukum.
2- Berlapang dada menerima khilaf dan perbezaan pendapat.
Orang Islam, beriman menolak bidaah dan saling menghormati khilaf. Sama ada
dalam perkara agama atau perkara dunia. Para imam 4 mazhab contohnya, pada
lembaran sejarah tercatat sejarah akan perbezaan dan perkhilafan mereka. Tapi
adakah tertulis sejarah akan permusuhan mahupun perbalahan antara mereka?
Apabila berbalah, akhirnya perkara (1) di atas berlaku sesama orang Islam.
3- Profesional ketika mengkritik atau menolak suatu pendapat.
Menolak suatu buah fikiran dan idea seseorang tidak bererti kita telah menghina
individu itu. Kita menolak pendapat seseorang berdasarkan hujah dan ilmu, dan
pada masa yang sama juga, janganlah kita menolak ideanya secara mutlak serta
menafikan kebenaran, fikiran bernasnya yang lain.
Imam Al-Iraqi, atau Imam Az-Zahabi menyebut kesilapan Imam Al-Ghazali dalam
perbincangan status beberapa hadis di dalam Ihya Ulumuddin. Namun mereka
tak sesekali menghina dan merendah-rendahkan sumbangan Imam Al-Ghazali
pada perkara yang lain. Mereka sungguh profesional.
4- Ikhlas sebelum beramal, dan juga teliti ketika beramal.
Niat serta matlamat yang murni tidak menghalalkan segala cara atau perbuatan
kita. Bukankah mencuri untuk bersedekah itu tidak wajar? Lakukan suatu kerja
berdasarkan kemahiran, kebolehan dan kemampuan. Jadikan Islam itu rujukan
utama dalam gerak kerja atau perbuatan.
Golongan Syiah ingin mengangkat darjat al-a'immah, namun keterlaluan hingga
ke tahap menjulang pemimpin kepada martabat nabi bahkan tuhan. Fahamkan.
5- Mengajak kepada kebaikan dengan hikmah dan bijaksana.
Perlu diingat bahawa ragam manusia itu pelbagai. Kadang-kadang kita perlu
sedikit berkeras dan kadang-kadang kita perlu lemah-lembut. Fahami situasi
persekitaran kita terlebih dahulu. Ada golongan yang hendak diherdik baru
buat kerja dan berubah, namun ada golongan yang gemar, mudah didekati,
dengan hemah dan senyuman. Ini ramai yang suka.
Jangan kutuk, hina sembarangan pada saudara-saudara kita yang jauh dari
Allah. Kelak jika mereka menjauh dan benci pada Islam kerana jahil serta
disebabkan sikap kita, maka berdosalah kita juga. Allah memberi hidayah
kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah menyesatkan sesiapa saja
yang dikehendaki-Nya.
Selesai 5 perkara ini. Akhirnya,
Buka Al-Quran khusus pada surah Al-Hujurat. Baca dan hayati kandungan surah
ini bermula pada ayat 10 hingga ayat 13. Itulah fokus penulisan saya kali ini.
Jika berkelapangan, hayati juga surah Al-An'am khusus pada ayat 108. Dan jika
berkelapangan lagi, hayati pula surah Al-Israk khusus pada ayat 84. Moga kita
beroleh manfaat bersama.
Cukup dengan 5 isi penting yang sedikit kan. Sukar untuk dipercayai tapi saya
mengambil masa 3-4 jam hanya kerana menulis seringkas ini. Tulis dan padam
berjaya dipraktikkan, tanda kelemahan yang tidak pernah sunyi dalam diri.
Semoga Allah sentiasa mempermudahkan urusan.
Almizzi,
Marang, Terengganu,
17 November 2011,
Jam 1504.
0 Komen:
Catat Ulasan