• Hidup Dalam Bersederhana

    Saya kadang-kadang cuba memahami, namun banyak kali saya gagal untuk cuba mengintai sedikit titik persamaan atau noktah kepada sengketa ini. Dan akhirnya saya hanya mampu memerhati, membaca, menilai dan menulis kesimpulan dalam diri sendiri sahaja...

  • Amanah Kita Bersama

    Masing-masing membuat suatu pekerjaan berdasarkan pada kekuatan, kemampuan serta kepakaran. Kemudian kepakaran itu dikongsi untuk perolehan manfaat bersama. Inilah sikap umat Islam yang saling menguatkan...

  • Jangan Mudah Menghukum

    Bersangka baik adalah pendirian dan sikap kita yang pertama. Jika didatangkan bukti dan fakta yang jelas tentang sesuatu kesalahan, barulah tindakan mampu dikenakan, kritikan dapat dilakukan terhadap mereka yang bersalah...

  • Itukan Hukum Allah

    Apabila orang jahil berbicara tentang agama, akan bertambah rosaklah agama di tangan mereka. Di sini, saya menentang video ini dengan hati, lisan dan tulisan sebagai tangan saya. Sungguh benci dan sangat bersimpati juga dengan pelakon- pelakon video ini. Adakah mereka sedar akan keceluparan skrip yang diucap...

2011 Pergi, 2012 Menanti

20M

Pandak is Beautiful, Terengganu

Exposure : 65 sec

Program : Manual

Focal Length : 18mm

Filters : ND8 + GND8

Aperture : f/18

ISO : 100

WB : Auto


Ini mungkin tulisan yang terakhir pada tahun ini. Tahun 2011 yang mencatatkan
pelbagai cerita, catatan dan memori suka duka yang akan menjadi tauladan dan
pengajaran untuk saya, mencoretkan pengalaman yang mematangkan.

Tahun baru 2012? Tak perlulah disambut seolah perayaan. Nabi kita yang dicintai
sudah berpesan, sudah cukup kepada muslim itu dengan dua hari raya. Memadai
dengan rasa syukur kerana dipanjangkan umur untuk hidup, berbuat ibadah yang
lebih kerap dan istiqamah serta sentiasa bertaubat kepada yang Maha Esa.

Akhirnya, buat diri dan sahabat-sahabat semua : sentiasalah kita memanfaatkan
segala ruang untuk bermuhasabah terhadap diri. Jika ada kebaikan, berusahalah
untuk beristiqamah dan mengajak manusia kepadanya. Jika ada kesalahan atau
kesilapan, berusahalah untuk tidak mengulanginya. Dan ajaklah manusia untuk
turut menjauhi kesalahan yang serupa.

Bersederhanalah dalam kehidupan. Sentiasalah terbuka menerima perbezaan tiap
fikrah dan pendapat dalam skop syarak yang membenarkan. Elakkan dari taksub
dan keras dengan perkataan sendiri sehingga menolak kebenaran oleh pihak yang
lain. Jangan terlalu mudah menyesatkan orang, apatah lagi mengkafirkan. Galak-
kan diri berbaik sangka akan kebaikan orang, elakkan dari memperlekehkan.

Teringat sebuah tema dan syiar yang menarik ketika menuntut di Maahad Tahfiz
Al-Quran Terengganu atau kini, Institut Al-Quran Terengganu. Sangatlah sesuai
untuk dihayati dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita hari ini :

Berkongsi Kelebihan, Menampung Kekurangan

Semoga kita sentiasa dikurniakan hidayah, untuk terus kekal di jalan-Nya. Dan
segala puji bagi Allah, yang telah mengatur sebaik-baik perancangan terhadap
perjalanan tiap-tiap hamba-Nya, sama ada kufur ataupun beriman.

Blog ini juga, insyaallah akan meneruskan perjalanannya. Selamat datang 2012.

Almizzi,
Marang, Terengganu,
29 Disember 2011,
Jam 1605

Hikmah Yang Hilang

19M

3 days old kittens captured on 24 December 2011


Apabila Harakahdaily di Facebook mengucapkan selamat hari krismas :

Kenapa jahil sangat pasal hukum? Haram tahu tak! Oh orang lain
tak boleh buat, haram. Dalam parti kamu boleh pula ya?


Apabila Perdana Menteri Malaysia mendapat kawalan VIP ketika ibadah haji :

Ini ikhlas ke tidak buat haji? Tak boleh rasa susah sikit ke?
Macam mana nak dapat haji mabrur kalau asyik nak senang saja.

Apabila seorang murid berbeza pendapat dengan guru dalam hal agama :

Ada ciri-ciri nak jadi murid biadap. Tak hormat dengan guru langsung!
Ini mesti terpengaruh dengan ajaran wahhabi.

Apabila penuntut ilmu membicarakan agama dari sudut yang sedikit berbeza :

Masalah kalau belajar tanpa talaqqi. Cakap pasal agama ikut suka hati
saja. Guru dia mesti Maktabah Syamilah, tak pun guru google.

Apabila seseorang itu memuji mana-mana syeikh atau pemimpin dikagumi :

Syeikh dia seorang sajalah yang betul. Susah juga bila dah taksub.
(atau) Dia ini syiah ke? Kenapa nak dipuji pemimpin dan syeikh syiah?
(atau) Yang sunnah semua dari syeikh dia saja. Syeikh lain semua buat bida'ah

Apabila rakyat bangun menolak dan menentang pemimpin yang zalim :

Ini semua dah terbabas dari Islam. Ramainya nak jadi khawarij sekarang!
(atau) Rakyat yang tak tahu bersyukur! Tahu nak lawan saja.

Apabila seorang alim tersilap atau tersalah memberi pendapat :

Ulamak cari makan, inilah akibatnya. Bercakap turut hawa nafsu.
(atau) Ulamak politik, biasa memang begitu. Agama entah ke mana.

Apabila terlalu taksub kepada seseorang, gerakan,jemaah atau aliran :

Kita berada pada jalan sunnah. Ustaz-ustaz lain semua dah terpesong!
(atau) Gerakan lain mengarut saja, cakap tak serupa bikin. Jangan ikut mereka.
(atau) Aliran jemaah itu berbeza dari kita, semuanya nak menyesatkan orang.

Seolah mustahil untuk berfikir yang baik terlebih dahulu, kita terlalu hebat hingga
dapat membaca niat dan hati-hati manusia. Jika begini, Rasulullah yang dicintai
pun tidak mampu menandingi keajaiban sebahagian umatnya hari ini.

Apabila ilmu dan iman diabaikan, manakala amarah serta hawa nafsu merampas,
merajai hati seorang insan yang mengaku Islam. Maka tunggu sahajalah bahawa
kelak perpaduan masyarakat akan musnah, kemenangan umat Muhammad hanya
tinggal angan-angan. Pasti kita akan digantikan nanti, dengan umat Muhammad
yang jauh lebih beriman dan cinta akan Allah dan rasul-Nya.

Kerana pada hari ini, kita melampaui batas berbicara, kita melampai batas ketika
menulis, ketika berpena, kita melampaui batas dalam beragama, kita melampaui
batas pabila menegur serta menghukum manusia di sekeliling kita.

Taksub, ghuluw dan prasangka buruk tiada berasas. Sinonim hidup kita hari ini.

Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sikap
prasangka, kerana sebahagian prasangka itu adalah (menyebabkan)
dosa. (Surah Al-Hujurat : 12)

Jangan kamu berbuat (berkata-kata atau lakukan sesuatu)
sedang kamu tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentangnya,
sesungguhnya telinga (pendengaran), mata (penglihatan) dan

tiap perbuatan itu akan persoalkan kelak (di hadapan Allah).

Dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan rasa
takbur (meninggi diri)...
(Surah Al-Israk : 36 dan 37)

Hikmah kian hilang dari hati dan perbuatan insan. Kita hanya tahu, ingin menang.

Almizzi,
Marang, Terengganu,
25 Disember 2011,
Jam 0100.


Hidup Dalam Bersederhana

5M

A peaceful dawn captured in Marang, Terengganu

Orang politik rancak berkelahi sekarang ini. Tidak kurang pula orang-orang agama
yang nampaknya sedang ligat berbalah sekarang. Saya sebagai penuntut jurusan
agama sendiri pun pening, dan mungkin ramai sahabat di luar sana juga serupa.

Tuduh-menuduh kini adalah perkara biasa. Lebih parah, kafir-mengkafirkan.

Apabila menular virus kafir-mengkafirkan antara mazhab dan aliran, maka
kita akan melihat pintu permusuhan dibuka seluas-luasnya. Ini realiti yang
berlaku di negara-negara umat Islam. Bahkan lebih malang apabila umat
Islam bersikap keras terhadap sesama sendiri. Sedangkan pada waktu
yang sama, mereka cukup lunak dengan musuh-musuh Islam (sebenar).
(Dr. Muhammad Imarah / Soihah Nazhir min Fitnah At-Takfir)

Saya kadang-kadang cuba memahami, namun banyak kali saya gagal untuk cuba
mengintai sedikit titik persamaan atau noktah kepada sengketa ini. Dan akhirnya
saya hanya mampu memerhati, membaca, menilai dan menulis kesimpulan dalam
diri sendiri sahaja. Cukuplah dengan berdiam diri, semoga ia lebih baik daripada
turut terjerumus dalam kancah perselisihan yang makin mengundang fitnah pada
akhir zaman ini.

Sahabat-sahabat di luar sana, hiduplah dengan bersederhana. Bersederhanalah
dalam beragama serta jangan melampaui batas-batas syariat-Nya.

Sebaik-baik urusan itu adalah dengan bersederhana.
(Riwayat Imam Al-Baihaqi / Al-Kubra)


Jauhi perdebatan, elakkan pergaduhan, dahulukan perdamaian, utamakan perkara
yang mendidik persefahaman, tolaklah ketaksuban, terbuka menerima perbezaan
serta peliharakan pena dan lisan. Sesungguhnya kebaikan itu pasti tiba masanya
akan membuang segala keburukan.

Dan kepada yang kurang arif, rajin-rajinkan diri bertanya dan mendapat pencerah-
an dari golongan yang bijaksana. Niatkan tujuan mencari kebenaran, bukan untuk
menuntut kemenangan serta menurut hawa nafsu semata-mata. Kemudian pada
akhirnya, tentukan pilihan anda berlandaskan ilmu dan iman.

Maka bertanyalah kepada golongan yang mengetahui
jika kalian tidak tahu. (Surah An-Nahl : 43)

Jika masih tidak keliru, maka berdiam diri adalah jalan yang selamat. Itu adalah
lebih baik dan jujur di sudut pandang agama. Katakan saja, saya tidak tahu. Ia
mudah dan memudahkan. Buang sikap buat-buat pandai dalam perkara agama.

Jangan malu apabila ditanyakan sesuatu perkara yang
tidak diketahui, lalu mengaku : saya tidak tahu.
(Al-Muhasibi / Risalah Al-Mustarsyidin)

Semoga Allah memelihara iman kita bersama. Salam Jumaat yang mulia.

Almizzi,
Marang, Terengganu,
22 Disember 2011,
Jam 2151.

Amanah Kita Bersama

4M
The Mosque of Sultanahmet, Istanbul

Saya bukanlah pakar dalam politik dan kecenderungan saya terhadapnya adalah
berkadaran sahaja. Masing-masing membuat suatu pekerjaan berdasarkan pada
kekuatan, kemampuan serta kepakaran. Kemudian kepakaran itu dikongsi untuk
perolehan manfaat bersama. Inilah sikap umat Islam yang saling menguatkan.

Katakanlah : Tiap-tiap orang berbuat amalan menurut
keadaan
masing-masing. Maka Tuhanmu lebih mengetahui
siapa yang
lebih benar jalannya. (Surah Al-Israk : 84)

Rasulullah s.a.w juga telah berpesan kepada kita :

(Perumpamaan) seorang mukmin kepada mukmin yang lain adalah
seperti suatu binaan, ia saling mengukuhkan antara satu sama lain...
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Apa yang saya kongsikan sebelum ini sedikit berkaitan politik, maka ia sebenar-
nya lebih menjurus kepada sikap ambil berat dan tanggungjawab saya dalam isu
berkenaan urusan umat Islam dalam negara bertuah ini. Jika seorang muslim itu
tidak cakna akan urusan saudara seagama, siapa lagi yang boleh diharapkan?

Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang suatu urusan
kaum muslimin, maka dia bukanlah dari kalangan kaum itu...

(Riwayat At-Tabrani / Al-Ausat dan As-Soghir)


Cukuplah dengan ambil tahu sekadar mampu. Jangan tidak tahu langsung.

2M
The Museum of Hagia Sophia / Ayasofya and The New Mosque
viewed from the Galata Tower


Saya pasti ramai sudah mengetahui tentang berita perkahwinan seorang pelajar
lelaki, rakyat Malaysia di Dublin, Ireland dengan pasangannya yang juga adalah
seorang lelaki. Bekas pelajar tajaan Petronas tersebut dikhabarkan hilang oleh
ahli keluarga sebelum ini. Kini apabila dah dikesan, dukacita pula ceritanya.

Amat menyedihkan. Kita tidak mahu bala daripada Allah menimpa seluruh umat
Islam di Malaysia disebabkan perbuatan melampaui batas sebahagian manusia
yang terpesong dari hidayah-Nya. Ingatlah kisah kaum Nabi Lut yang dilenyap-
kan dari muka bumi akibat perbuatan terkutuk mereka sendiri :

Sesungguhnya apabila tiba (waktu perlaksanaan) perintah Kami (Allah),
Kami jadikan negeri kaum Lut itu terbalik (tertimbus segala yang ada di
muka buminya), dan Kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah
yang dibakar lalu menimpa mereka bertalu-talu.
(Surah Hud : 82)

Terkini dilaporkan bahawa saudara Ariff Alfian masih mengaku sebagai seorang
muslim. Jadi itu adalah khabar yang sedikit menggembirakan.

Usaha kita yang mampu dilakukan adalah berdoa, semoga saudara ini dikurnia-
kan hidayah dan taufiq oleh Allah agar kembali bertaubat dari perbuatan dosa
tersebut. Kita juga berlindung dengan Allah, moga dijauhkan diri dan keluarga
serta saudara-saudara Islam dari berbuat maksiat yang serupa.

Pintu taubat masih terbuka luas untuknya kembali ke jalan Tuhan. Ameen.

3M
The Mosque of Sulaiman / Suleyman / Suleymaniye, Istanbul

Akhirnya, suka saya kongsikan satu link video yang telah ditonton baru-baru ini.
Ia adalah tazkirah ringkas dan ulasan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman berkaitan
fesyen muslimah : Antara trend dan hukum. Satu perbahasan yang disampaikan
dengan cukup baik oleh seorang ilmuan Islam yang dihormati di tanah air. Moga
Allah memberkati usaha murni beliau dalam berdakwah.

Sila klik di sini : Fesyen Muslimah

Seseorang yang berada pada tahap muslim masih gemar membicarakan tentang
fesyen. Manakala mereka yang berada pada tahap mukmin dan muttaqin sejati
tidak lagi sibuk berbicara tentang fesyen dalam kehidupan.

Kerana mereka lebih sibuk berbicara, bagaimana untuk mencantikkan iman-iman
mereka. Dan golongan ini akan berhabis wang dan berbelanja semata-mata ingin
menghias kecantikan iman dan ilmu dalam diri mereka.

Saya sungguh tertarik dengan kenyataan di atas. Anda bagaimana?

Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada sifat luaran dan fizikal
tubuh kami. Tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu.
(Riwayat Imam Muslim)

Tak perlu kecoh tentang isu tudung menyerupai rahib atau tidak. Pakai sahajalah
jilbab, tudung litup atau tudung bawal yang labuh. Akan sejuk mata memandang.
Allah lebih suka, manusia pun selesa, dan bahaya fitnah dapat dipelihara.

Saya sebagai seorang lelaki biasa pun, lebih selesa memandang muslimah yang
bertudung labuh. Tak kiralah apa nama tudung sekalipun. Cuma fesyen tudung
terkini yang agak popular hari ini gagal mendapat tempat di hati saya. Hehe...

Semoga kita beroleh ilmu dan manfaat untuk kebaikan bersama.

Almizzi,
Marang, Terengganu,
21 Disember 2011,
Jam 1805.

Jangan Mudah Menghukum

2M
The Museum of Hagia Sophia / Ayasofya , Istanbul

Terdahulu, saya ingin mengambil peluang mengucapkan selamat keberangkatan
balik kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah ke Terengganu
Darul Iman, setelah sempurna tempoh pemerintahan Baginda sebagai Yang di-
Pertuan Agong ke-13 pada 12 Disember baru-baru ini.

Dan saya juga ingin merakam setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Seri Paduka
Baginda Tuanku Abdul Halim Mu'adzam dan Tuanku Haminah Hamidun sempena
perlantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dan Raja Permaisuri Agong.

Semoga beroleh hidayah dan taufiq daripada-Nya sentiasa. Daulat Tuanku.

1M
Old woman feeding birds near The New Mosque, Istanbul

Baru-baru ini, komuniti Islam di Malaysia dikejutkan dengan 2 buah video yang
pada saya hampir jelas mempertikai dan mempersendakan hukum hudud yang
rasanya telah diketahui umum akan pensyariatannya di dalam Al-Quran.

Saya tidak berasa begitu hairan jika masyarakat kita hari ini berbalah disebabkan
perbezaan politik, tetapi begitu hairan dengan sikap dan tindakan sesuatu pihak
yang mempergunakan agama sebagai bahan cemuhan dan hinaan dalam politik.

Chua Soi Lek sebelum ini secara jelas memperlekeh hukum Allah, saya tidaklah
begitu terkejut kerana dia bukan Islam. Tapi jika orang mengaku Islam itu sendiri
yang melakukan perbuatan yang sama, maka pasti ia menyedihkan. Mudah cakap,
pemain bola sepak Malaysia buat gol sendiri, semestinya kita marah dan kecewa.

Namun, mari kita bermuhasabah sejenak. Pernahkah kita berbuat kesilapan ini?

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mencela golongan yang
menyembah selain Allah (kerana perbuatan kamu itu) menyebabkan mereka
juga mencela Allah dengan rasa permusuhan kerana kejahilan mereka.
(Surah Al-An'am : 108)

Jika pernah berbuat, elakkan ia daripada berulang di lain hari.

Alhamdulillah
, tampil banyak pihak mengecam perbuatan tersebut dan membuat
laporan polis seperti GAMIS dan DPPNK. Namun jauh di sudut hati, saya sangat
tertanya-tanya : Apakah pendirian kerajaan pemerintah terhadap isu ini bahkan
di manakah peranan dan tugas ilmuan muda di dalamnya?

Anda lebih berkuasa dalam perkara ini. Tidak perlu untuk menarik tangan pihak
yang terlibat ke belakang tabir untuk ditegur barulah dikenakan tindakan kerana
pihak terbabit bukanlah raja atau penguasa. Nasihat dan tindakan berhadapan
adalah wajar ketika ini, mengenepikan sebarang perselisihan politik. Tunjukkan
bahawa ruang dakwah anda benar-benar terbuka luas. Jadi kita mampu seiring
dan sejalan mencegah pekerjaan mungkar ini.

Sesiapa di antara kamu menyaksikan perbuatan mungkar, maka tegahlah perkara
tersebut dengan tangannya. Jika kamu tidak mampu, maka (tegahlah ia) dengan
lisannya. Jika kamu tidak mampu, maka (tegahlah ia) dengan hatinya. Demikian
itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Imam Muslim)

Menegur dan menasihati pemerintah secara langsung adalah tugas besar yang
dipikul oleh ilmuan-ilmuan muda tersebut. Namun tersangat baik jika diperuntuk-
kan juga ruang untuk mereka ini turun melibatkan diri dalam isu-isu terkini yang
membarah dan mencemarkan kesucian Islam dalam masyarakat seperti apa yang
menjadi buah mulut sebahagian besar rakyat Malaysia pada hari ini.

Jangan sekadar membenci di dalam hati. Tidak bertepatanlah dengan kedudukan,
kekuatan serta ruang yang ada pada anda sekarang. Setiap anggota masyarakat
ingin melihat, memerhati dan menilai gerak kerja dan peranan anda. Sekurang-
kurangnya mereka menjadi saksi bahawa anda turut turun padang bersama-sama
menzahirkan sikap tanggungjawab terhadap realiti yang berlaku sekarang.

Tentukan keutamaan. Namun jangan diabaikan apa yang menjadi sampingan.

Dia (Muhammad s.a.w) bermasam muka dan berpaling. (Kerana) telah datang
kepadanya seorang lelaki buta. Apakah kamu tahu barangkali dia datang kerana
ingin mensucikan dirinya? Atau dia ingin mengambil peringatan lalu peringatan
itu bermanfaat kepadanya?

Sedangkan orang-orang yang kaya itu, kamu menghadapi mereka. Padahal kamu
tidak sesekali berdosa jika mereka tidak mensucikan diri (menganut Islam).
Manakala orang yang bersegera mendatangi kamu. Dan dia takut kepada Allah.
Maka kamu (pula) berpaling daripadanya.

Maka jangan sama sekali (berbuat begitu), sesungguhnya ayat-ayat Allah itu
adalah suatu peringatan. (Surah 'Abasa : 1-11)

Rajinkan diri untuk merujuk sebab turunnya ayat-ayat ini, pasti amat bermanfaat
untuk mendidik kita supaya bijak merancang keutamaan di samping turut ambil
cakna tentang perkara-perkara sampingan. Bijak dan adil menentukan prioriti.

Sesungguhnya Rasulullah itu adalah contoh terbaik untuk kita semua.

3M
Walk in the park outside of the Mosque of Sultanahmet, Istanbul

Akhirnya, mari kita menghayati potongan hadis ini :

Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk menebuk semua hati manusia
dan membelah perut-perut mereka... (Riwayat Imam Bukhari)

Bersangka baik adalah pendirian dan sikap kita yang pertama. Jika didatangkan
bukti dan fakta yang jelas tentang sesuatu kesalahan, barulah tindakan mampu
dikenakan, kritikan dapat dilakukan terhadap mereka yang bersalah.

Elakkan amalan kita pada hari ini : bersangka buruk didahulukan dalam segenap
aspek. Orang berbuat salah ditegur dan dimarahi, namun apabila orang berbuat
baik, dipertikaikan pula sifat amanah dan ikhlas orang itu tanpa sebarang bukti,
alasan atau hujah yang jelas. Mungkin masyarakat hari ini sungguh kasyaf!

Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sikap prasangka
kerana sebahagian sikap prasangka itu adalah (menyebabkan) dosa...
(Surah Al-Hujurat : 12)

Bersangka baik tidak mengapa serta digalakkan. Manakala bersangka buruk pula
adalah dilarang selagi tidak ada hujah dan bukti untuk menunjukkan bahawa prasangka
tersebut benar-benar berlaku dalam setiap antara kita.

Ingatlah, seorang muslim tidak terlalu mudah menghukum.

Almizzi,
Marang, Terengganu,
15 Disember 2011,
Jam 0818.

Luangkan sedikit masa menonton video ini. Satu usaha pantas yang amat baik
dari satu pihak untuk menjelaskan persoalan yang berlaku dalam masyarakat
berkenaan hukum hudud, sekaligus menjawab kekeliruan yang telah ditimbulkan
oleh video-video Sembang Rakyat.

Sila klik di sini : Oley!!

Ucapan tahniah daripada saya kepada pihak yang menjayakan usaha murni ini.

Itukan Hukum Allah

1M
Melalui laman sosial Facebook, saya menonton 2 video sampah ini :

Pertama : Sila klik di sini
Kedua : Sila klik di sini

Di sini saya menulis bukan sebagai penyokong mana-mana parti politik, tetapi
sebagai seorang muslim yang tidak akan mempertikaikan apatah lagi menuruti
hawa nafsu mempersenda-sendakan hukum Allah di dalam Al-Quran.

Berimankah kita dengan umum pengajaran dari firman Allah :

Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa (syariat) yang telah diturunkan Allah,
sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang kufur.

Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa (syariat) yang telah diturunkan Allah,
sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang zalim.

Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa (syariat) yang telah diturunkan Allah,
sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang fasiq.


Apabila orang jahil berbicara tentang agama, akan bertambah rosaklah agama di
tangan mereka. Di sini, saya menentang video ini dengan hati, lisan dan tulisan
sebagai tangan saya. Sungguh benci dan sangat bersimpati juga dengan pelakon-
pelakon video ini. Adakah mereka sedar akan keceluparan skrip yang diucap?

Sesiapapun anda di luar sana tidak kira pro-kerajaan atau sebaliknya, ambillah
peranan menegur, menolak dan menentang perkara ini. Jangan kerana fanatik
kepada pihak tertentu, akidah kita menjadi taruhan dan sanggup diperjudikan.
Berkata-katalah akan perkara yang baik dan benar, atau lebih baik duduk diam
sahaja.

Jika Allah berkehendak, maka Dia akan memberi hidayah kepada golongan ini
lantas bertaubat serta kembali ke jalan-Nya. Jika Allah berkehendak, maka Dia
akan kekalkan mereka dalam kesesatan diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah
Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.

Pendirian saya menolak sekerasnya video-video ini. Anda bagaimana?

Almizzi,
Marang, Terengganu,
9 Disember 2011,
Jam 1747.

What's On My Mind

1M
Pantai Mehdia di Kenitra, Maghribi.

What's On My Mind?

Hairan saya dengan perbuatan pihak yang cuba menyerang dan menjatuhkan aib
serta peribadi Ustaz Azhar Idrus di laman Youtube, Facebook, Blogger dan laman
sosial yang lain. Hanya kerana tidak senang dengan gaya bahasa ceramah oleh
Ustaz Azhar (sebab paling ketara), maka beliau dikecam seteruknya?

Manakah yang jelas lebih berdosa, berceramah dengan bahasa yang tidak disukai
sesetengah pihak bagi saya bersifat minoriti atau menyebarkan berita atau satu
fitnah maha besar terhadap seorang ulama yang semakin diterima masyarakat
majoriti? Di manakah mudarat yang paling besar?

Tidak wajar sesuatu pihak yang tidak bersetuju dengan gaya Ustaz Azhar Idrus
ini menghentam beliau sebegini. Seolah ia menafikan besarnya sumbangan yang
diberikan oleh beliau dalam mendekatkan muda-mudi kepada masjid, membantu
menjawab persoalan masyarakat dalam hal ehwal agama dan sebagainya.

Disebabkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu, kini saya akhirnya tawar hati
untuk membaca blog tersebut. Mudah cakap, blog itu disenarai blacklist. Kasihan
saya! Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Tidak suka, tak perlu dengar. Tapi jangan buat fitnah.


What's On My Mind?

Rasa syukur dan gembira dengan kesedaran serta kefahaman yang semakin baik
masyarakat umum tentang bahaya dan kesesatan Syiah, ia khusus terzahir pada
10 Muharram baru-baru ini, ketika Syiah sibuk meraikannya dengan memukul dan
menyeksa diri. Satu perbuatan yang jelas bida'ah dan tiada asasnya dalam Islam.
Hari penyesalan bak kata mereka.

Maka alhamdulillah, ramai rakan-rakan di Facebook mahupun blog berkongsi ilmu
dan mendedahkan akan kesesatan bahkan bahaya fahaman ini sama ada melalui
tulisan atau pendedahan video.

Tambahan pula, kita sekarang sedang menyaksikan jihad saudara-saudara kita
di Dammaj, Yaman mempertahankan nyawa dan akidah mereka dari serangan
puak Syiah. Telah dikhabarkan terdapat pelajar Malaysia yang terkorban dalam
serangan Syiah terhadap ahli sunnah di sana.

Di Syria juga hampir serupa keadaannya. Rakyat Syria yang majoritinya muslim
sunni kini bangkit menentang kezaliman pemerintah mereka, Basyar Al-Assad
dan sekutunya. Dan ia juga perihal perang Ahli sunnah terhadap puak Syiah
yang telah menjerut pemerintahan Syria.


Jika kita di sini masih terus berbalah kerana perkara cabang atau furu' dalam
agama, berhentilah buat seketika. Sekarang kita ada satu tanggungjawab yang
sama, membantu serta mendoakan para mujahid sunni di Dammaj, memerangi
kezaliman puak Syiah. Kita bersepakat dalam perkara ini. Kalau boleh, berhenti
berbalah buat selama-lamanya lagi bagus.

Mari kita berdoa akan kemenangan muslimin sunni di Dammaj, Yaman serta di
Syria khususnya. Semoga Allah menghancurkan kaum Rafidhah. Semoga Allah
menghancurkan mereka!


What's On My Mind

3 Disember baru-baru ini, dikejutkan dengan berita seorang bapa muda, berumur
26 tahun membelasah anaknya yang masih bayi kerana tangisan bayi berkenaan
yang dikatakan menganggu tidurnya. Kasihan pada si bapa yang mungkin letih
bekerja, kasihan lagi pada si bayi yang tidak bersalah dan tak tahu apa-apa.

ada yang komen : Itulah akibatnya kahwin muda, tapi tak bersedia dan tak boleh
susah sikit, terus melatah. Tak matang menghadapi alam rumahtangga sendiri.

Komen saya : Kahwin muda atau tidak bukan isu utama, namun persediaan dan
kematangan itu yang menjadi persoalan serta memerlukan jawapan. Dalam masa
yang sama, saya juga mengakui bahawa faktor usia mempengaruhi kematangan
seseorang. Mungkin sebab itu, ada yang syorkan jangan terlalu awal berkahwin.
Tapi jangan terlalu lewat pula!

Betapa persiapan fizikal dan material itu penting. Namun persiapan mental dan
emosi serta ilmu agama jauh lebih utama dan didahulukan. Dan amat dukacita
apabila kita hanya mengambil berat persiapan luaran sahaja. Konsep al-ba'ah
gagal diaplikasi secara syumul dan menyeluruh. Perlu ingat bahawa berkahwin
itu bukan semata-mata menghalalkan yang haram.

Berkahwin tak susah, tetapi berkahwin juga tak mudah.


Akhirnya

Akhirnya, saya tertarik dengan wallpost Ustaz Zaharuddin yang baru saja dibaca
sebentar tadi, penuh pengajaran buat remaja muda-mudi :

Musim exam universiti semakin dekat, sebahagian trend biasa mahasiswa/wi di
IPTA/IPTS sejak dahulu hingga hari ini adalah study bersama BF atau GF, alasan
nya hanya belajar, padahal nafsu keduanyalah yang 'sedang belajar', kononnya
'lebih fokus', padahal mata ranjangnya si lelaki sahaja yang 'fokus'. Akhirnya
sama ada jatuh zina atau tak jadi kahwin atau jika kahwin banyak yang mudah
retak dan akhirnya bercerai. Hilang sama sekali keberkatan dalam hubungan dan
rumahtangga, juga pengajiannya. Jauhinyalah wahai anak muda... demi kebaikan
masa depan kalian. Sedihnya di IIUM juga wujud..

Moga dikurniakan kita hidayah menuju jalan-Nya yang lurus.

Almizzi,
Marang, Terengganu,

6 Disember 2011,
Jam 2335.

Khilaf Antara Kita

10E
Gambar-gambar ini dirakam semasa dan selepas
musim banjir di sekitar rumah saya baru-baru ini.

7E
Syeikh Wahbah Zuhaili telah berkata :

Apa yang telah menimpa kepada umat Islam masa kini adalah terdapat beberapa
golongan yang terburu-buru menyalahkan orang lain. Sikap ini telah menyebabkan
mereka menghukum orang lain dengan tuduhan kesesatan, tanpa membawa bukti
atau hujah yang nyata. Pada masa yang sama, adakah mereka telah lupa bahawa
Ahlu Sunnah Wal Jamaah keseluruhannya sepakat tentang perkara-perkara yang
berbentuk prinsip?

8E
Khilaf mengajar dan mendidik muslim untuk bersikap profesional serta matang
untuk menerima atau menolak suatu pandangan dalam agama. Contohilah para
ulama terdahulu yang hebat berakhlak sesama mereka walaupun ada di antara
mereka berselisih pendapat dalam sesuatu perkara.

Khilaf itu membawa rahmat, hanya jika kita bijak menguruskannya.

Almizzi
Marang, Terengganu,

2 Disember 2011,
Jam 0948.