• Hidup Dalam Bersederhana

    Saya kadang-kadang cuba memahami, namun banyak kali saya gagal untuk cuba mengintai sedikit titik persamaan atau noktah kepada sengketa ini. Dan akhirnya saya hanya mampu memerhati, membaca, menilai dan menulis kesimpulan dalam diri sendiri sahaja...

  • Amanah Kita Bersama

    Masing-masing membuat suatu pekerjaan berdasarkan pada kekuatan, kemampuan serta kepakaran. Kemudian kepakaran itu dikongsi untuk perolehan manfaat bersama. Inilah sikap umat Islam yang saling menguatkan...

  • Jangan Mudah Menghukum

    Bersangka baik adalah pendirian dan sikap kita yang pertama. Jika didatangkan bukti dan fakta yang jelas tentang sesuatu kesalahan, barulah tindakan mampu dikenakan, kritikan dapat dilakukan terhadap mereka yang bersalah...

  • Itukan Hukum Allah

    Apabila orang jahil berbicara tentang agama, akan bertambah rosaklah agama di tangan mereka. Di sini, saya menentang video ini dengan hati, lisan dan tulisan sebagai tangan saya. Sungguh benci dan sangat bersimpati juga dengan pelakon- pelakon video ini. Adakah mereka sedar akan keceluparan skrip yang diucap...

Cabaran, Ego & Amanah

6M

Alhamdulillah.

Sudah hampir 3 minggu menjalankan tugas sebagai guru. Profesyen yang menjadi
impian ketika berada di alam pengajian dahulu. Dan apabila kini berada di dalam
realiti tugas ini, agak terasa cabaran serta kepayahannya. Rohani dan jasmani.

Menjadi seorang guru, dilihat sebagai satu jalan yang baik untuk saya meneruskan
kelangsungan dalam belajar dan terus menuntut ilmu di samping menggalas tugas
sebagai pendidik. Jadi tugas ini adalah platform pilihan, agar pengetahuan serta
ilmu di dada tidak sekadar berkurung sendiri. Bahkan berharap ia sentiasa mampu
berkembang dan matang dari hari ke hari, semasa ke semasa.

Cuma di tempat saya mengajar ini, boleh tahan jugalah cabarannya. Pelajar-pelajar
yang bermasalah pasti akan ada, anak-anak murid yang lebih senior dari saya pun
ramai juga. Sampai segan saya nak mengajar dibuatnya. Dan yang paling mencabar
setakat ini, adalah sikap terpuji anak-anak murid yang sentiasa, sangat suka untuk
bertanya. Kalau sekali-sekala tak mengapa, tapi kalau terlalu kerap, pening juga-
lah kepala nak menjawabnya. Soalan-soalan pula bukan tahap alif ba ta, tapi dah
seperti viva sarjana agaknya

Moga Allah menguatkan saya. Apa yang saya mampu, saya akan jawab. Apa yang
di luar kemampuan, jawapannya : Saya tidak tahu. Bukan mudah juga sebenarnya
nak mengatakan jawapan itu. Ego wajar ditundukkan, sikap amanah serta rendah
diri perlu diutamakan. Mudah-mudahan diredhai-Nya sentiasa.

Akhirnya, nasihat untuk diri dan sahabat-sahabat semua :

Jika seseorang imam mempunyai pandangan pada suatu amalan itu adalah
sunat sedangkan makmum tidak menyukainya, maka lebih baik bagi imam
itu meninggalkan amalan tersebut kerana semata-mata ingin memelihara
perpaduan serta kesatuan (mereka).
(Ibnu Taimiyyah / Majmu' Al-Fatawa)

Apabila seorang imam tersalah dalam ijtihadnya, tidak sepatutnya kita terus
melupakan segala kebaikannya dan menafikan ilmu pengetahuannya. Namun
kita hendaklah mendoakan keampunan kepada Allah untuknya,
dan kita berlepas diri daripadanya.
(Al-Imam Az-Zahabi / Siyar A'lam Nubala')

Bersama-sama kita contohi kemuliaan akhlak yang diajarkan oleh ulamak-ulamak
Islam terdahulu ini. Kemuliaan yang disemai penuh kesederhanaan.

Almizzi,
Marang, Terengganu,
23 Januari 2012,
Jam 1150.

Benar & Dusta

4 mark

Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi berkata :

Di sini kami mendapati bahawa apa yang menyedihkan adalah, terdapat
segelintir pihak yang hanya berpegang dengan buku-buku menyebabkan
mereka hilang kepercayaan terhadap tokoh-tokoh ilmuan Islam. Sikap mereka
pula yang suka mendekati para pemerintah, padahal posisi mereka sebenarnya
bukanlah demikian.

Mereka menyendeng dengan menumpang para penguasa yang tidak berhukum
dengan hukum Allah. Tidak cukup bagi mereka dengan sikap berdiam diri dari
menegur golongan yang zalim : Wahai orang yang zalim.

Bahkan mereka berkata kepada para penguasa tersebut : Alangkah adilnya
engkau dan alangkah hebatnya engkau wahai pejuang.

Mereka lebih rela berdiam diri dari berkata benar, juga tidak berkata-kata terhadap
kebatilan... Sesungguhnya kami dapati mereka ini adalah pengampu yang berada
di sisi para penguasa. Jika mereka inginkan halal, mereka akan katakan halal. Jika
mereka inginkan haram, mereka akan katakan haram.

Apabila para penguasa turut terlibat dalam perkara (haram) itu, mereka akur bahkan
mengaitkan perbuatan penguasa adalah atas nama Islam.

(As-Sohwah Al-Islamiyyah Baina Al-Jumud Wa At-Tathorruf)

Harapan saya, semoga diri ini dan sahabat-sahabat terpelihara serta dijauhkan dari
tergolong dalam kumpulan yang disindir sinis oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi ini.
Ilmu dan pengetahuan yang kita miliki adalah untuk dimanfaat kepada diri sendiri
dan masyarakat semata-mata memperjuangkan kebenaran dengan ikhlas. Bukan
sekadar untuk kepentingan dunia dan diri sendiri.

Baru-baru ini, ada yang bertanya tentang satu posting dari satu blog berkenaan
Ustaz Azhar Idrus. Setelah membaca isi kandungan tulisan tersebut, saya dapati
ia adalah semata-mata perbuatan pihak yang hasad dan benci dengan sumbangan
serta perkembangan ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus. Semoga Allah
memberi hidayah kepada pihak ini untuk meminta maaf.

Kesimpulan yang pertama : Walaupun Ustaz Azhar Idrus tidak mempunyai hitam
putih latar pendidikan yang tepat seperti ijazah sarjana atau doktor falsafah, itu
tidak sama sekali menafikan ilmu beliau yang luas dan bermanfaat. Perlu diingat-
kan bahawa sijil-sijil ijazah bukanlah syarat utama keperluan seorang ulamak itu
sebelum dia boleh menyampaikan ilmu kepada umum. Ia adalah sekadar penguat
dan pengiktirafan sampingan terhadap keilmuannya.

Yang kedua : Berita ini, sumber asalnya adalah dari sebuah blog yang dikenali ramai
sebagai blog yang terkenal dengan berita dan fitnah yang palsu. Jadi sebagai insan
yang waras, adakah boleh dipercayai cerita-cerita dari media ini?

Saya menghormati Ustaz Azhar Idrus. Jika beliau ada berbuat silap, semoga Allah
memaafkan kesalahannya. Namun sedikit kekurangan itu tidak sama sekali boleh
kita jadikan hujah untuk menolak seribu sumbangan dan kebaikan beliau. Apatah
lagi jika kekurangan dan kesilapan itu hanya satu khabar angin serta fitnah yang
ingin menjatuhkan beliau secara biadap.

Tugas kita : Berhati-hati sebelum menerima bulat-bulat suatu berita. Selidiklah ia!

Almizzi,
Marang, Terengganu,
13 Januari 2011,
Jam 1028.

Lama tak update, keadaan komputer dan capaian internet yang tidak mengizinkan.