• Hidup Dalam Bersederhana

    Saya kadang-kadang cuba memahami, namun banyak kali saya gagal untuk cuba mengintai sedikit titik persamaan atau noktah kepada sengketa ini. Dan akhirnya saya hanya mampu memerhati, membaca, menilai dan menulis kesimpulan dalam diri sendiri sahaja...

  • Amanah Kita Bersama

    Masing-masing membuat suatu pekerjaan berdasarkan pada kekuatan, kemampuan serta kepakaran. Kemudian kepakaran itu dikongsi untuk perolehan manfaat bersama. Inilah sikap umat Islam yang saling menguatkan...

  • Jangan Mudah Menghukum

    Bersangka baik adalah pendirian dan sikap kita yang pertama. Jika didatangkan bukti dan fakta yang jelas tentang sesuatu kesalahan, barulah tindakan mampu dikenakan, kritikan dapat dilakukan terhadap mereka yang bersalah...

  • Itukan Hukum Allah

    Apabila orang jahil berbicara tentang agama, akan bertambah rosaklah agama di tangan mereka. Di sini, saya menentang video ini dengan hati, lisan dan tulisan sebagai tangan saya. Sungguh benci dan sangat bersimpati juga dengan pelakon- pelakon video ini. Adakah mereka sedar akan keceluparan skrip yang diucap...

Bicara Nisfu Syaaban

1
Exposure Mode : Manual
Exposure : 1/400

Aperture : f/2.8

Focal Length : 50mm
WB : Manual (Kelvin)

ISO : 100


Malam kelmarin adalah malam yang dikenali sebagai Nisfu Syaaban
di dalam Islam. Di Malaysia pada malam itu, masjid-masjid serta
surau-surau dimakmurkan dengan perhimpunan umat Islam yang
lebih ramai dari biasa. Akan diadakan bacaan Yasin dan bersolat
sunat, diakhiri dengan doa Nisfu Syaaban yang agak panjang.

Setelah melihat ramai juga sahabat berbicara tentang kesahihan
amalan-amalan khusus pada malam tersebut, maka saya tergerak
hati untuk berkongsi juga, perkara yang sama dalam blog ini moga
ada kebaikan yang dapat saya dan pembaca perolehi bersama.

Dan suka saya katakan : Tulisan ini saya kongsikan dalam konsep
bacaan awam bukan profesional. Jadi hujah atau dalil yang telah
disertakan, ada yang detail, namun kebanyakannya ringkas serta
berbentuk kesimpulan.

Sebelum itu, satu kaedah Fiqhiyyah perlu diketahui : Asal sesuatu
ibadat itu adalah tahrim atau hazr (larangan). Seseorang itu tidak
dibenarkan untuk melakukan sesuatu ibadat ('ibadatullah) kecuali
selepas ada dalil atau nas-nas syarak yang mensyariatkannya.
Begitu secara ringkas huraian kaedah tersebut seperti yang ada
dinyatakan oleh Ibnu Hajar, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Ruslan, Imam
As-Syaukani dan lain-lain ulama.

Ibadat, adat dan muamalat tiga perkara yang berbeza. Harus tahu
itu juga.

Syeikh Yusuf Al-Qardhawi telah berkata : Tidak pernah diriwayat
kan daripada Rasulullah S.A.W dan para sahabat bahawa mereka
berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban,
membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang telah kita
lihat pada sebahagian negeri orang Islam...

Sila baca kalam penuh Syeikh Yusuf di sini : Al-Qardhawi. Saya
memetiknya dari laman web Ustaz Mohd Asri Zainal Abidin. Ini
untuk meringkaskan tulisan saya di sini. Sila baca penuh hemat.

Di samping itu, terdapat beberapa hadis yang telah disandarkan
kepada Rasulullah tentang kelebihan bulan Syaaban ini. Sekali
lagi perlu kita ketahui, bahawa di antara hadis-hadis tersebut
ada yang sahih atau hasan, dan ada yang palsu setelah dinilai
dan dikaji oleh pakar ilmu hadis.

Antara intipati yang diperoleh dari hadis-hadis yang sahih dan
hasan ini adalah galakan berpuasa pada bulan Syaaban seperti
yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim dari
hadis Aisyah, serta hadis daripada Usamah Bin Zaid diriwayat-
kan oleh Imam An-Nasaie bahawa Rasulullah menginginkan
agar amalan Baginda diangkat ketika sedang berpuasa. Juga
berpuasa pada hari putih (Al-Ayyam Al-Baidh) diriwayatkan
oleh Imam Nasaie, dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani.

Tambahan lagi, terdapat juga hadis sahih bahawa Allah akan
melihat para hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, dan Dia
mengampuni hamba-Nya kecuali musyrik dan orang yang ber-
musuhan. Hadis ini dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani, riwayat
oleh Imam Ibnu Hibban dan Imam Al-Bazzar.

Syeikh Yusuf Al-Qardhawi pernah menceritakan ketika beliau
masih waktu kecil (atau muda) bahawa beliau pernah bersama-
sama, mengikut orang-orang awam bersolat dua rakaat beserta
doa dipanjangkan umur, kemudian solat dua rakaat dan berniat
tidak bergantung kepada manusia dan membaca Yasin. Namun
semua perkara itu tidak pernah diperintah oleh syarak secara
khusus (malam Nisfu Syaaban).

Imam Al-Iraqi : Hadis berkenaan solat (sunat khas) pada malam
Nisfu Syaaban adalah tidak sahih, direka-reka dan dusta ke atas
Rasulullah.

Imam An-Nawawi di dalam kitab Al-Majmu' juga ada menyebut
tentang kebatilan solat sunat Raghaib (pada bulan Rejab) serta
kebatilan hadis-hadis tentang solat sunat khusus pada malam
Nisfu Syaaban dan ia adalah bidaah yang ditegah.

Berkenaan bacaan Yasin 3 kali khusus pada malam Nisfu Syaaban
pula, Syeikh Muhammad Abdul Ghaffar As-Syarif, ustaz Fiqh dan
Usul di Kuliah Syariah dan Pengajian Islam di Universiti Kuwait
berkata : Bacaan Yasin 3 kali ini adalah bidaah, tiada dalil untuk
disabitkan kepada Rasulullah, tetapi ia bukan perkara mungkar
(bacaan Yasin itu sendiri) kerana ia adalah umum dari amalan-
amalan baik, iaitu bacaan Al-Quran. Namun hendaklah dengan
syarat, tidak beriktikad bahawa ia adalah sunat.

Pendapat yang hampir sama juga ada dinyatakan oleh Syeikh Ali
Jum'ah bahawa tidak menjadi masalah untuk membaca Yasin 3
kali pada malam tersebut, kerana ia termasuk di dalam amalan

baik menghidupkan
Nisfu Syaaban ini. Namun hendaklah pelaku-
nya beriktikad perbuatan tersebut bukanlah khusus datang dari

amalan Rasulullah, dan bukan pula wajib.

Point penting : Tidaklah menjadi masalah untuk beribadat atau
meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadat pada malam tersebut
kerana ada hadis sahih tentang kelebihan malam Nisfu Syaaban.
Namun jangan sesekali dikhususkan bilangan atau kuantitinya
serta menyandarkannya kepada Rasulullah dengan sesuka hati.
Bimbang kita telah berdusta ke atas Baginda.

Apa yang kita dapat simpulkan?

Hakikatnya agak pahit, namun sebagai muslim atau penuntut ilmu
yang berdisiplin, kita harus belajar untuk menerima kebenaran itu
dengan hati yang lapang dan terbuka. Bagi mereka yang sedia ada
mengetahui tentang ini, janganlah pula mudah menghukum.

Masyarakat awam, taklid adalah menjadi pegangan mereka kerana
mereka bukan ahli dalam ijtihad. Konsep ittiba' (beramal dengan
pengetahuan dalil) pula masih dalam proses pengenalan, masih
baru dan asing dalam konteks masyarakat Malaysia.

Jadi kita bermula perlahan-lahan. Jangan terlalu keras, bimbang
mereka menjauhkan diri.

Anggota masyarakat awam mungkin ada yang tidak tahu dan tidak
punya pendedahan akan perkara ini.

Hendak dihalang masyarakat dari berkumpul ramai di masjid pada
malam itu? Hujahnya hendak elakkan bidaah daripada berlaku. Itu
satu tindakan yang kurang cerdik ketika umat Islam kini semakin
terleka dan menjauh dari rumah-rumah Allah.

Sentiasalah menggalakkan masyarakat memakmurkan masjid dan
surau walaupun bukan pada bulan tertentu seperti Rejab, Syaaban,
Ramadhan dan bulan-bulan lain. Gunakan Nisfu Syaaban sebagai
perintisnya. Dakwah perlu kreatif dan hikmah.

Berpuasa? Iya teruskanlah kerana Rasulullah banyak berpuasa di
bulan Syaaban ini.


Akhirnya?

Berbicaralah, ajarkanlah masyarakat dengan perkara-perkara yang
sunat lagi sahih, dengan perlahan-lahan. Bukan keseluruhan hadis
tentang Nisfu Syaaban itu palsu dan batil. Jangan tergesa-gesa.
Perkara yang menjadi adat atau ibadat tanpa asas itu pula, kita
atasinya berperingkat-peringkat. Masyarakat Malaysia ini sensitif,
perlu diraikan sifat ini sebaiknya.

Beribadatlah, berdoalah, berpuasalah pada bulan Syaaban serta
malam Nisfu Syaaban. Kemudian berdisiplinlah untuk mengubah
perkara yang salah kepada yang benar dan betul. Lebih-lebih
lagi jika kita hendar sandarkan hujah kita kepada Rasulullah.

Tujuan yang baik, jika kena pula caranya dan tepat kaedah untuk
perlaksanaannya dengan sunnah Baginda, maka itulah yang kita
nilai sebagai terbaik, bahkan berpahala.

Semoga kita memperoleh keampunan-Nya pada Nisfu Syaaban ini
dan diterima segala amalan-amalan kita yang baik. Ameen.

Almizzi,
Rumahku Syurgaku,
Marang, Terengganu,
16 Julai 2011,
Jam 2350.


Kredit rujukan : Laman web Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, Ustaz
Zaharuddin Abdul Rahman, islamway.com, taimiah.org dan lain-

lain lagi.

Jika ada kritikan dan teguran, dipersilakanlah. Saya memegang
tanggungjawab terhadap tulisan ini sepenuhnya.

0 Komen:

Catat Ulasan