• Hidup Dalam Bersederhana

    Saya kadang-kadang cuba memahami, namun banyak kali saya gagal untuk cuba mengintai sedikit titik persamaan atau noktah kepada sengketa ini. Dan akhirnya saya hanya mampu memerhati, membaca, menilai dan menulis kesimpulan dalam diri sendiri sahaja...

  • Amanah Kita Bersama

    Masing-masing membuat suatu pekerjaan berdasarkan pada kekuatan, kemampuan serta kepakaran. Kemudian kepakaran itu dikongsi untuk perolehan manfaat bersama. Inilah sikap umat Islam yang saling menguatkan...

  • Jangan Mudah Menghukum

    Bersangka baik adalah pendirian dan sikap kita yang pertama. Jika didatangkan bukti dan fakta yang jelas tentang sesuatu kesalahan, barulah tindakan mampu dikenakan, kritikan dapat dilakukan terhadap mereka yang bersalah...

  • Itukan Hukum Allah

    Apabila orang jahil berbicara tentang agama, akan bertambah rosaklah agama di tangan mereka. Di sini, saya menentang video ini dengan hati, lisan dan tulisan sebagai tangan saya. Sungguh benci dan sangat bersimpati juga dengan pelakon- pelakon video ini. Adakah mereka sedar akan keceluparan skrip yang diucap...

Khilaf? Kita Tetap Bersaudara

7

Tiada fokus tertentu kali ini. Seperti sebelum ini, kesibukan kerja agak menghalang
saya untuk aktif menulis di blog ini. Waktu yang benar-benar lapang adalah di waktu
cuti hujung minggu sahaja. Jadi terhad sedikitlah ruang untuk berfikir dan mencari
idea-idea untuk dikongsi bersama. Moga Allah mempermudahkan saya.

Manfaatkanlah (peluang dalam) 5 perkara sebelum datang 5 perkara :
Waktu mudamu sebelum tiba waktu tuamu, waktu sihatmu sebelum
tiba waktu sakitmu, waktu kayamu sebelum tiba waktu miskinmu,
waktu lapangmu sebelum tiba waktu sibukmu, dan waktu hidupmu
sebelum tiba waktu kematianmu.
(Al-Hakim / Al-Mustadrak 'ala As-Sohihain)

Sekarang ini, apa yang terlintas di fikiran adalah program perarakan sempena sambutan
Maulidurrasul peringkat negeri Terengganu pada esok, 5 Februari 2012. Saya bersama
beberapa rakan pensyarah serta sebahagian pelajar mewakili institut kami dalam
program tahunan tersebut, sekadar memeriahkan suasana sahaja. Hehe...

Tentang status hukum menyambut hari kelahiran Baginda? Saya tidak berhajat nak
mengulas panjang berkenaannya. Cukuplah bagi saya, waktu dan peluang sebegini
dimanfaatkan masyarakat muslim untuk kembali bermuhasabah akan hakikat serta
kebenaran cinta dan sayang mereka terhadap Rasulullah. Perarakan dan acara yang
seumpamanya bukan matlamat utama, namun keinsafan dan kepatuhan kita kepada
Allah serta rasul-Nya itulah yang menjadi cita-cita.

Dan menjadi harapan saya, perkara elok seperti ini dapat membenih titik kesatuan,
perpaduan serta kekuatan saudara-saudara muslim di tanah air Malaysia khususnya.
Jika sebelum ini kita berkelahi atau bersengketa, maka alangkah baiknya pada waktu
ini kita berusaha bahkan bersungguh-sungguh untuk berdamai. Kerana sudah pasti
kita telah akui, bahawa orang-orang beriman itu bersaudara.

Lupakan perbezaan serta khilaf kecil antara jemaah, gerakan, persatuan atau apa
sahaja yang seumpamanya. Perlu kita insafi bahawa perselisihan pendapat dalam
cabang-cabang kehidupan sememangnya tidak dapat dielakkan. Namun kewajipan
kita adalah : sentiasa beriman dan meyakini salah satu prinsip utama Islam yang
tidak pernah dipertikaikan, iaitu persaudaraan antara kaum muslimin.

Berpegang teguhlah kepada agama Allah. Jangan sesekali kita berpecah-belah.

Muhammad itu adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersamanya
adalah bersikap keras terhadap golongan kafir, namun berkasih-sayang
sesama mereka (golongan beriman)
(Surah Al-Fath : 29)

Akhirnya, satu nasihat sungguh bermanfaat untuk semua :

Sesungguhnya para penuntut ilmu di zaman dahulu mendengar (ilmu)
untuk belajar, kemudian belajar untuk beramal, kemudian mereka mendalami
agama Allah untuk dimanfaatkan serta memanfaatkan.

Namun apa yang terjadi kini, para penuntut ilmu mendengar hanya untuk
sekadar mengumpul ilmu. Ilmu tersebut hanya semata-mata digunakan
untuk perbahasan. Kerana itu, mereka inginkan kemenangan dalam
perbahasan tersebut bahkan berbangga dengan 'kejayaan' itu.
(Imam Ibnu Qutaibah / petikan dari Rasa'il Al-Aimmah As-Salaf
oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah)

Jadi kita belajar untuk apa? Untuk yang pertama atau kedua? Mari muhasabah bersama.

Almizzi,
Marang, Terengganu,
4 Februari 2012,
Jam 1813