• Hidup Dalam Bersederhana

    Saya kadang-kadang cuba memahami, namun banyak kali saya gagal untuk cuba mengintai sedikit titik persamaan atau noktah kepada sengketa ini. Dan akhirnya saya hanya mampu memerhati, membaca, menilai dan menulis kesimpulan dalam diri sendiri sahaja...

  • Amanah Kita Bersama

    Masing-masing membuat suatu pekerjaan berdasarkan pada kekuatan, kemampuan serta kepakaran. Kemudian kepakaran itu dikongsi untuk perolehan manfaat bersama. Inilah sikap umat Islam yang saling menguatkan...

  • Jangan Mudah Menghukum

    Bersangka baik adalah pendirian dan sikap kita yang pertama. Jika didatangkan bukti dan fakta yang jelas tentang sesuatu kesalahan, barulah tindakan mampu dikenakan, kritikan dapat dilakukan terhadap mereka yang bersalah...

  • Itukan Hukum Allah

    Apabila orang jahil berbicara tentang agama, akan bertambah rosaklah agama di tangan mereka. Di sini, saya menentang video ini dengan hati, lisan dan tulisan sebagai tangan saya. Sungguh benci dan sangat bersimpati juga dengan pelakon- pelakon video ini. Adakah mereka sedar akan keceluparan skrip yang diucap...

Ramadhan, Harapan Kita

2M

Allah S.W.A berfirman: Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan
ke atas kamu berpuasa seperti mana yang telah diwajibkan ke atas
orang-orang yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah : 183)

Rasulullah S.A.W pula bersabda: Sesiapa yang menghidupkan bulan
Ramadhan penuh keimanan (membenarkan janji Allah iaitu pahala
dan balasan kebaikan) dan pengharapan (juga ikhlas kerana Allah
serta mengharap kebaikannya), nescaya diampunkan dosa-dosanya
yang terdahulu. (Al-Bukhari dan Muslim, Subul As-Salam)

Ramadhan kini kian menghampiri. Bagi sesetengah orang, apa yang
terlintas di hati apabila Ramadhan hadir adalah keseronokan ketika
ber-shopping sakan di mall atau bazar hingga lupa dunia. Tahu-tahu
sajalah, ada diskaun sana-sini.

Mereka memang berpuasa, namun sekadar di perut sahaja. Rayuan
nafsu sentiasa memenangi hati mereka. Sifat membazir, bakhil atau
kedekut, mengumpat, malas beribadat adalah sebati dalam diri tiap
mereka. Seruan ukhrawi ketika Ramadhan diabaikan. Hanyalah yang
mereka tahu, makan besar tika berbuka dan membeli-belah ketika
hampir berhari raya. Malangnya golongan ini.

Satu golongan lagi, adalah orang-orang yang menyambut hadirnya
Ramadhan dengan penuh kesyukuran. Seperti syiar yang biasanya
didengar: Kedatanganmu dirai, pemergianmu ditangisi. Maka bulan
Ramadhan dimanfaatkan sepenuhnya. Bersahur, berbuka, bersolat
terawih, qiamullail, bersedekah, berzakat adalah pakaian harian
mereka di bulan ini. Perkara sia-sia dan maksiat dijauhi sepenuh
hati dan jihad di dalam diri.

Mereka makan ketika berbuka, shopping tika hampir raya, namun
semua itu penuh kesederhanaan dan bukanlah matlamat utama.
Alangkah beruntungnya mereka ini.

1M

Sahutlah seruan Al-Quran: Segeralah untuk mendapat keampunan
daripada tuhanmu dan syurga-Nya seluas langit dan bumi, ia telah
disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.(Ali Imran: 133)

Juga firman-Nya: maka berlumba-lumbalah berbuat kebaikan.
(Al-Baqarah: 148)

Syeikh Yusuf Al-Qardhawi berkata: Maka Allah telah menfardhukan
ibadat puasa untuk membebaskan insan dari belenggu nafsunya itu,
keluar dari penjara dirinya, mengawal diri dari menurut cenderung
syahwatnya... (Petikan dari web beliau)

Maka betapa ramaikah yang berjaya dalam ujian ini? Sebilangan
besarnya hanya berjaya untuk tidak makan sahaja. Namun mereka
gagal untuk mengawal nafsunya, dan gagal mentarbiah kekuatan
diri untuk sentiasa berlumba-lumba berbuat kebaikan. Mudahnya
untuk berbelanja RM50 di bazar, tetapi nilai yang sama untuknya
bersedekah, seolah mustahil pula.

Ketika Ramadhan, waktu syaitan telah dibelenggu ini pun diri kita
tewas hanya dengan kuasa nafsu sendiri, maka akhirnya masuklah
kita dalam golongan yang telah diperkatakan oleh Rasulullah tika
mengucapkan - ameen - apabila naik ke tangga mimbar:

Celakalah sesiapa yang bertemu Ramadhan, kemudian berpisah
dengannya namun dia tidak beroleh keampunan.
(
Adab Al-Mufrad, disahihkan oleh Al-Albani)

3M

Saya masih teringat ketika berpuasa pada musim panas di Maghribi
2-3 tahun yang lepas. Apabila rumah kami memberikan hanya satu
kali juadah berbuka kepada jiran, maka hampir sebulan jiran kami
itu memberi juadah berbuka kepada kami. Agak malu pula kami ini
apabila hanya mampu memulangkan pinggan kosong jika tidak ada
sesuatu yang dapat kami beri sebagai balasan. Seolah hadis nabi
ini sentiasa dihayati oleh mereka:

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka jangan
dia menyakiti jirannya. (Subul As-Salam)

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkata
baiklah atau diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari
akhirat, maka muliakanlah jirannya. Sesiapa yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya.
(Al-Bukhari dan Muslim,
Syarah Al-Arba'in Nawawi)

Semoga kita termasuk dalam golongan yang menyantuni setiap
tetamu dan jiran kita. Ameen.

Ya, masyarakat arab atau Maghribi khususnya sangat suka untuk
bersedekah ketika Ramadhan. Bagi pelajar-pelajar asing seperti
kami dari Malaysia yang sering dipuji sana-sini oleh mereka, maka
Ramadhan kami dipenuhi dengan jemputan dan undangan untuk
berbuka puasa dengan sahabat-sahabat arab. Jika hendak ditolak
pelawaan mereka, pasti akan ditazkirah terlebih dahulu.

Pernah suatu ketika saya ingin membayar kembali seorang kawan
yang belanja minum di warung, dia menolaknya dengan marah dan
berkata: Tak mengapa, aku hanya hendakkan syurga nanti.

Subhanallah! Terharu dan kagum saya dengan akhlaknya.

5M

Ketika waktu berterawih pula, saya memang cerewet sikit memilih
masjid untuk bersolat terawih. Bukanlah hendakkan sebuah masjid
yang selesa atau air-conditioned, tetapi saya ingin bersolat serta
dapat merehatkan diri berimamkan para qari yang hebat dan enak
bacaannya.

Kebiasaannya, masyarakat Maghribi ini akan bersolat terawih dan
menghabiskan satu juzuk Al-Quran satu malam. Separuh solat
terawih dilakukan selepas isyak, bakinya diselesaikan sebelum
solat subuh ketika qiamullail.

Antara imam solat kesukaan saya adalah Imam Al-Qazabri, beliau
merupakan salah seorang imam besar Masjid Hassan II Casablanca
iaitu masjid terbesar di Maghribi dan kelima terbesar di dunia. Jika
beliau menjadi imam, akan bertambah sesaklah masjid lebih-lebih
lagi pada akhir Ramadhan. Bacaannya lancar dan penghayatannya
terhadap kandungan Al-Quran terserlah.

Tidak hairanlah ketika saya bersolat terawih di masjid tersebut
pada malam khatam Al-Quran tahun 2008, suasana dalam masjid
penuh syahdu, penuh tadabbur oleh makmum dengan tiap bacaan
Imam Al-Qazabri. Doanya sangat panjang, namun sungguh hebat!

Bersungguh-sungguh para makmum mengaminkannya, walaupun
saya ketika itu ketar lutut bersabar akan lamanya doa itu. Dan
ketika keluar dari masjid, keadaan penuh sesak. Seolah-olah ia
seperti di Masjid Al-Haram, rasanya jemaah yang hadir bersolat
pada malam tersebut mencapai puluhan ribu orang.

Tidak keterlaluan saya katakan, bersolat terawih di Maghribi itu
lebih merehatkan saya berbanding bersolat di Malaysia.

Rehatkanlah kami dengan solat wahai Bilal!

4M

Walau bagaimanapun, suasana dan zaman tempat kita berpijak dan
berada memang berbeza-beza. Terserah kepada rohani dan jasmani
diri sendiri untuk melatih bermujahadah dan tarbiah diri. Keadaan
sekeliling tidak akan mengikuti kehendak kita, namun kitalah yang
perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang hadir bersama-
sama dalam kehidupan nyata.

Suasana Ramadhan di Malaysia yang sememangnya dikenali dengan
waktu kegemaran nafsu untuk berbuat itu dan ini, memerlukan jiwa
yang tabah dan gagah untuk mengawal semua syahwat yang pasti
merosakkan pahala puasa dan ibadat kalau tidak diselia sebaiknya.
Belajar untuk ikhlas adalah kunci utamanya. Jika baik hati dan niat
kita, baiklah seterusnya. Jika punah permulaannya, cacatlah tiap
amalan kita selepas itu dan berpanjanganlah ia.

Betapa ramai yang berpuasa namun tidak beroleh apa-apa kebaikan
darinya kecuali lapar dahaga. Dan betapa ramai yang bangun untuk
beribadat malam, namun tidak beroleh apa-apa kebaikan darinya
kecuali bangun berjaga malam itu (tapi tiada pahala).
(
Musnad Imam Ahmad Bin Hanbal)

Kita pasti tidak mahu begini bukan?

7m

Akhirnya, marilah kita bermuhasabah diri dengan menghayati kalam
daripada Syeikh Muhammad Soleh Al-Uthaimin dalam buku beliau
iaitu Fatawa Aqidah Dan Rukun-Rukun Islam:

Hikmah dari kewajipan ibadat puasa adalah menguatkan sifat taqwa
dan perhambaan terhadap-Nya. Dan taqwa itu adalah meninggalkan
segala perkara-perkara haram dan semestinya ia juga meliputi tiap
amalan-amalan kebaikan yang diperintahkan-Nya serta sama sekali
meninggalkan perbuatan yang dilarang. Rasulullah telah bersabda:

Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan dia berbuat
jahat (sedangkan dia berpuasa), maka Allah tidaklah berkehendak
supaya dia meninggalkan makan dan minumnya.
(Al-Bukhari, Abu Daud, Tarmizi dan Imam Ahmad)

Semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik untuk kita semua.
Taqabbalallah minna wa minkum solihul 'amal.

Almizzi,
Rumahku Syurgaku,
Marang, Terengganu,
25 Julai 2011,
Jam 1840.


1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

jahat ngat langit dier ;D

Catat Ulasan