• Hidup Dalam Bersederhana

    Saya kadang-kadang cuba memahami, namun banyak kali saya gagal untuk cuba mengintai sedikit titik persamaan atau noktah kepada sengketa ini. Dan akhirnya saya hanya mampu memerhati, membaca, menilai dan menulis kesimpulan dalam diri sendiri sahaja...

  • Amanah Kita Bersama

    Masing-masing membuat suatu pekerjaan berdasarkan pada kekuatan, kemampuan serta kepakaran. Kemudian kepakaran itu dikongsi untuk perolehan manfaat bersama. Inilah sikap umat Islam yang saling menguatkan...

  • Jangan Mudah Menghukum

    Bersangka baik adalah pendirian dan sikap kita yang pertama. Jika didatangkan bukti dan fakta yang jelas tentang sesuatu kesalahan, barulah tindakan mampu dikenakan, kritikan dapat dilakukan terhadap mereka yang bersalah...

  • Itukan Hukum Allah

    Apabila orang jahil berbicara tentang agama, akan bertambah rosaklah agama di tangan mereka. Di sini, saya menentang video ini dengan hati, lisan dan tulisan sebagai tangan saya. Sungguh benci dan sangat bersimpati juga dengan pelakon- pelakon video ini. Adakah mereka sedar akan keceluparan skrip yang diucap...

Tentang Bersih 2.0

1M

Exposure Mode : Manual
Exposure : 25
Aperture : f/18
Focal Length : 95mm
WB : Auto
ISO : 100

Selepas perhimpunan BERSIH 2.0 baru-baru ini, perlu kita buka
mata kita seluas-luasnya menilai peristiwa agak bersejarah di
tanah air tercinta Malaysia. Di sebelah pihak, perhimpunan ini
dianggap berjaya dengan mengumpulkan hampir 50,000 rakyat
Malaysia keluar menyuarakan suara dan kehendak mereka. Dan
lebih penting, perhimpunan itu berakhir dengan harmoni walau
pun terpaksa berhadapan dengan kekerasan pihak polis yang
menjadi senjata upahan kerajaan.

Bukan semua polis itu jahat, tapi kerana nila setitik, habislah
rosak susu sebelanga. Yang amanah dipuji, yang zalim dikeji.

Di sebelah pihak pula, perhimpunan haram ini telah dianggap
telah menjejaskan nama baik Malaysia di mata dunia, mereka
yang terlibat dituduh penderhaka pada negara, menjejaskan
keamanan negara dan lain-lain lagi tohmahan.

Namun tak ramai mengetahui, di sebalik perhimpunan murni
itu, dunia kini melihat Malaysia dengan rasa bangga terhadap
rakyatnya. Mereka memuji keberanian para pencinta keadilan
dan kebenaran yang keluar mengangkat suara, melaungkan
syiar kebebasan bersuara.

Ketika pemimpin Malaysia mengecam, mengutuk perhimpunan
tersebut yang dituduh merosakkan imej negara, maka mereka
terlupa bahawa dunia sedang mengkritik mereka. Atau adakah
mereka menutup mata dan telinga?

Najib disambut dengan karpet kuning di London. Media-media
antarabangsa jika diteliti, menghukum pihak kerajaan kerana
gagal melancarkan perhimpunan itu, bahkan kerajaan pulalah
yang berusaha merosakkannya. Kebebasan bersuara serta
kebebasan berhimpun disekat mereka. Maka siapakah di sini
adalah penderhaka?

Apapun, saya bersyukur kerana perhimpunan ini bermula dan
berakhir dengan aman dan baik. Walaupun sangat terkilan
dengan layanan pihak polis dan FRU yang tergamak untuk
menzalimi mereka yang tidak bersenjata.

Dari perspektif perlembagaan dan demokrasi, maka tidaklah
dapat dinafikan bahawa rakyat mempunyai hak untuk keluar
berhimpun (pertama) dan bebas bersuara (kedua). Cubalah
untuk pesongkan fakta ini, ia tetap begitu.

Dari sudut yang lain

Sempat juga saya menilai dan memerhati, barisan ilmuan di
Malaysia tidak ketinggalan untuk berbincang, menyuarakan
pendapat dan berhujah akan isu ini. Seperti yang diketahui,
sebilangan mereka bersetuju, dan sebilangannya tidak.

Dalil dan hujah dari kedua-dua pihak dari sudut zahir akan
kelihatan sungguh kemas dan faktanya. Cuma kematangan
menilai dan mengkaji himpunan teks syarak beserta sikap
kritis dan bijak menyesuaikan perkara tersebut dengan isu
di Malaysia ini sahajalah yang membezakannya.

Pandangan yang bersetuju dengan perhimpunan aman dan
demonstrasi ini, saya memerhatikan mereka dengan satu
pujian yang baik. Keterbukaan dalam berhujah, menghurai
kan fakta dan mengaitkannya dengan waqi' Malaysia serta
kreatif meluaskan sudut perbincangan berkaitan demokrasi
pula di sini.

Pandangan yang tidak bersetuju, saya menghormati hujah
dan himpunan pendapat yang diberi. Hadis serta ayat-ayat
Al-Quran membicarakan tentang ketaatan pada pemerintah
serta konteks menasihati mereka, dan larangan memerangi
mereka zahirnya memang jelas. Rasanya umum sememang
nya mengetahui akan hal ini. (umum : mungkin dapat jika
saya khususkan kepada pelajar pengajian Islam dan yang
berkaitan)

Hanya terdapat persoalan, adakah perkara-perkara tersebut
adalah mutlak dari segi hukumnya jika ada perubahan masa
dan tempat? Dan adakah kaedah khas atau kekal, khusus
dalam bab mentaati dan menasihati pemerintah?

Perlu diketahui, perubahan hukum memang berlaku dengan
perubahan waktu dan tempat.

Ya, kita memang tahu terdapat ulama-ulama yang lebih awal
berbicara tentang ini, dan menegahnya. Juga, kita telah tahu
terdapat ulama-ulama yang bersetuju tentangnya. Maka jika
kita sependapat dengan mereka yang menegah, berlapang
dadalah.

Jika kita sependapat dengan mereka yang bersetuju, maka
berlapang dadalah. Jangan sesekali kita sibuk bertelingkah
tentang perkara yang menjadi khilaf. Bimbang perselisihan
itu bakal menyebabkan musibah lebih besar, musnahnya
persaudaraan Islam. Kita menolak bidaah, bukan khilaf.

Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka
damaikanlah di antara dua saudaramu (yang berbalah itu)
semoga kamu beroleh rahmat-Nya.

Noktahnya, teks-teks syarak berkaitan, diadun bersama
sistem demokrasi di Malaysia untuk diperkatakan serta
dibawa berbincang bersama-sama. Akhirnya adakah kita
telah temui penyelesaiannya? Untuk berlaku ijma' dalam
perkara ini bukan semudah yang disangka.

Dunia kini berubah. Berhati-hatilah.

Almizzi,
Rumahku Syurgaku,
Marang, Terengganu,
16 Julai 2011,
Jam 0104.


Mungkin ada yang bertanya, tulisan ini tak berapa nak ada
dalil dan fakta terperinci? Saya minta maaf jika tulisan ini
agak ringkas dan bersahaja, kerana saya mencatat perkara
ini hanyalah berdasarkan pengetahuan am serta bersifat
sekilas pandang saya sahaja.

Dan ia sesuai untuk bacaan umum, saya tidak tumpukan
nya kepada profesional. Terima kasih.

2 Komen:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah ustaz!!ringkas dan jelas =)

ADMIN berkata...

Terima kasih :)

Catat Ulasan