• Hidup Dalam Bersederhana

    Saya kadang-kadang cuba memahami, namun banyak kali saya gagal untuk cuba mengintai sedikit titik persamaan atau noktah kepada sengketa ini. Dan akhirnya saya hanya mampu memerhati, membaca, menilai dan menulis kesimpulan dalam diri sendiri sahaja...

  • Amanah Kita Bersama

    Masing-masing membuat suatu pekerjaan berdasarkan pada kekuatan, kemampuan serta kepakaran. Kemudian kepakaran itu dikongsi untuk perolehan manfaat bersama. Inilah sikap umat Islam yang saling menguatkan...

  • Jangan Mudah Menghukum

    Bersangka baik adalah pendirian dan sikap kita yang pertama. Jika didatangkan bukti dan fakta yang jelas tentang sesuatu kesalahan, barulah tindakan mampu dikenakan, kritikan dapat dilakukan terhadap mereka yang bersalah...

  • Itukan Hukum Allah

    Apabila orang jahil berbicara tentang agama, akan bertambah rosaklah agama di tangan mereka. Di sini, saya menentang video ini dengan hati, lisan dan tulisan sebagai tangan saya. Sungguh benci dan sangat bersimpati juga dengan pelakon- pelakon video ini. Adakah mereka sedar akan keceluparan skrip yang diucap...

Ini Jalanku

1M

Pada satu zaman yang tercemar oleh kerosakan dan perpecahan umat Islam tidak
kira ia berlaku kepada orang awam atau penuntut ilmu syariah, apakah cara yang
baik serta sesuai untuk saya membina manhaj atau pendirian? Siapakah ilmuan
agama yang dapat saya ikut dan mengambil manfaat? Semoga Allah memberkati
jalan ini :

1- Bertanya kepada Ahlu Az-Zikr tentang apa yang kita tidak tahu.

Bertanya atau rujuklah pendapat dan perkataan para ulama yang thiqah bahkan
dipercayai. Ijazah atau PhD bukan kriteria utama seseorang dari mereka, namun
ilmu serta pengetahuan yang benar itu yang didahulukan.

Rujukan di alam internet juga luas, tetapi face to face jauh lebih baik. Janganlah
pula meminta pendapat tentang hukum hudud daripada seorang artis.

2- Kaji dan nilai apa yang terbaik didasari ilmu, bukan nafsu.

Maka ikhlas itu sangat penting. Jika bertemu dua pendapat berbeza atau lebih,
cubalah, rajinkanlah diri untuk memperbanyak rujukan. Tidak mampu? Peganglah
suatu pendapat ulama yang diyakini. Dan amalkan sikap keterbukaan menerima
pendapat berbeza dari pihak lain, selagi perbezaan itu diiktiraf syarak.

Jangan malu untuk berubah jika kita berbuat salah.

3- Berbincang akan ilmu dengan ilmu, disertakan adab dan bijaksana.

Ilmu tanpa adab, orang sukar untuk percaya. Adab tanpa ilmu, ghuluw atau sikap
melampau-lampau boleh berlaku. Maka peliharalah kedua-duanya. Kebijaksanaan
juga penting untuk bergerak lebih ke hadapan, memahami perkataan para ulama
yang kekadang berbeza disebabkan suasana persekitaran.

Lahirlah golongan yang kontemporari, muncul pula golongan yang literal. Mana
satu yang betul? Pendapat saya : Satu ketika, akan ada pendapat satu pihak
yang lebih tepat dan jitu. Satu ketika juga, kedua-dua golongan ini mempunyai
pendapat yang benar. Namun ringkasnya, ada pihak ingin menyesuaikan suatu
hukum itu dengan keadaan manakala satu pihak lagi ingin menyesuaikan suatu
keadaan dengan hukum. Jujur, kadang-kadang saya turut keliru.

Perlu lebih pencerahan kerana bab ini juga, adakalanya menyebabkan berlaku
perbalahan dan perselisihan agak kritikal antara penuntut ilmu. Wallahu 'alam.

4- Elakkan sangka buruk, kritikan melulu dalam membuat penilaian.

Ingin sangat highlight perkara ini. Saban hari, saya ada juga membuka laman
web awam/biasa atau yang bersifat agama untuk membaca berita semasa atau
hal ehwal semasa, namun betapa banyak yang mengecewakan saya.

Mengetepikan hal politik, saya sangat benci dengan sikap sesetengah pihak
berstatus agamawan, lebih-lebih lagi sikap anak-anak murid para agamawan
yang cepat melatah, cepat mencaci, cepat menghina. Semuanya cepat!

Niat mereka baik. Mungkin ingin menjaga aib, menjaga nama baik atau maruah
guru/gerakan yang mereka hormati dari segala tohmahan, namun tidak kena
pula caranya. Ucapan 'kamu bodoh' berbalas 'kamu bodoh' juga.

Marah itu ada caranya. Gunalah cara yang berpahala. Apa salahnya membalas
penghinaan itu dengan adab yang baik serta hujah yang lantang. Kemudian
kita berlepas diri, beristighfar jika ada kesalahan dan kelemahan dalam diri.

5- Jika tidak mampu kesemuanya, diamlah dan teruskan belajar.

Perkara (Diam) ini adalah bab yang paling sukar. Semoga kita berusaha untuk
mengamalkannya. Elakkan diri menempah kerusi dari api neraka dek berdusta
terhadap ucapan dan ajaran Rasulullah.

Beriman kepada Allah dan hari akhirat? Ucapkanlah kata-kata yang baik atau
diam sahaja.

Alhamdulillah, selesai sudah 5 perkara.

Akhir penulisan, suka saya berkata : Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Ustaz
Asri Zainal Abidin, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Ustaz Zahazan Mohamed, Ustaz
Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ustaz Abdul Basit Abdul Rahman, Ustaz Maulana Asri,
Ustaz Azhar Idrus, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Ustaz
Fathul Bari, Ustaz Hafiz Firdaus adalah di antara ilmuan-ilmuan Islam Malaysia
yang saya kenal dan menjadi rujukan dalam selok-belok agama.

Manakala Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Ali Jumaah, Syeikh Wahbah Zuhaili,
Syeikh Nasiruddin Al-Albani, Syeikh Al-Uthaimin, Syeikh Atiyyah Saqar, Syeikh
Abdul Rahman As-Sudais adalah di antara ilmuan-ilmuan Islam luar negara yang
saya rujuk dan baca karangan-karangan mereka.

Ketahuilah bahawa pendapat mereka masing-masing mungkin berbeza. Kadang-
kadang pula, ada pendapat mereka masing-masing berubah mengikut peredaran
waktu dan masa.

Suatu ketika saya mungkin merujuk dan berpegang dengan pengajaran seorang
ulama dalam satu perkara. Suatu ketika pula, mungkin saya meninggalkan
pendapat beliau dan berpegang kepada pendapat ulama yang lain. Ia berlaku
dan tidak mustahil bagi seorang muslim berstatus mukallid, muttabi' ataupun
mujtahid juga.

Hanya satu perkara yang sama :


Saya menghormati kesemua mereka, bahkan tidak redha mereka difitnah apatah
lagi dikeji dan dihina. Sungguh zalim jika ada manusia berbuat demikian.

Suatu sudut, ikhtilaf ummati rahmah itu benar, jika diadakan dengan sederhana
dan rasa rendah diri menerima perbezaan. Bukanlah dengan rasa sombong serta
taksub yang menjauh dari insaf, kesalahan yang tiada penghujung.

Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara.

Almizzi,
Marang, Terengganu,
21 November 2011,

Jam 2132.

4 Komen:

Tanpa Nama berkata...

ustaz azhar idrus vs ustz fathul bari,.bleh ustz almizzi bagi pendapat
sket pasal ni?..

ADMIN berkata...

Saya pernah komen isu ini di wallpost seseorang di FB Ustaz Azhar Idrus.
Jadi saya ulang pendapat personal secara ringkas :

Kedua-duanya ahli ilmu, ada sumbangan yang besar kepada masyarakat Islam
di Malaysia yang rasanya semua tahu. Jadi, jangan kerana kita tidak setuju
dengan kedua mereka dalam beberapa perkara (cth : manhaj ilmu atau kaedah
penyampaian mereka), maka kita mengkritik/menghina mereka tanpa menjaga
adab sebagai anak murid/penuntut ilmu dan memperlekeh segala jasa serta
sumbangan mereka.

Tidak wajar, jika kita cenderung kepada seorang ustaz, maka kita hentam
pihak yang tidak sependapat dengan kita. Itu zalim namanya.

Terbukalah dan beradablah dalam menerima atau menolak pendapat seseorang
ahli ilmu. Suka saya berkata sbg cth : Saya sependapat dan bersama Ustaz
Fathul Bari ketika mempertahankan Syeikh Abdul Rahman As-Sudais dari
ditohmah dan difitnah pihak tak bertanggungjawab.

Manakala, saya tidak sependapat dengan hujah beliau dalam isu BERSIH 2.0
baru-baru ini dan cenderung menerima hujah ahli ilmu yang lain. Tapi saya
tidak menolak bulat2, kerana hujah beliau itu juga ada kebenarannya.

Ilmu, adab dan bijaksana. Mari kita jaga tentang ini. Wallahu 'alam.

Tanpa Nama berkata...

Sy tgk ad puak yang benci ustz azhar sbb gaye die bceramah.gune bhse
kasar n kesat dlm cramah,..dats why die kene hentam..ustz mizzi bleh
komen sket??

ADMIN berkata...

Ada minoriti yang kurang suka dengan gaya penyampaian ustaz, majoriti pula
kian menerima dan sudah berbiasa dengan gaya ustaz. Ada yang berkata : Islam
melarang gunakan kata2 kesat etc. Itu memang benar.

Cumanya, janganlah satu perkara kecil ini diperbesar2kan hingga menafikan
sumbangan ustaz Azhar ini. Juga saya katakan, gaya ustaz dalam penyampaian
ceramahnya tidak sesekali sama dengan peramahnya beliau ketika bersama-sama
orang awam. Saya mengakuinya, kerana saya telah merasakannya.

Satu perkara menarik saya sedar, lucu juga bila pihak yang menghentam ustaz
Azhar dengan alasan spt yang dikatakan di atas, pada masa yang sama pihak
itu juga kasar berbahasa, atau lebih teruk lagi. Umpama meludah ke langit.

Wallahu 'alam.

Catat Ulasan