• Hidup Dalam Bersederhana

    Saya kadang-kadang cuba memahami, namun banyak kali saya gagal untuk cuba mengintai sedikit titik persamaan atau noktah kepada sengketa ini. Dan akhirnya saya hanya mampu memerhati, membaca, menilai dan menulis kesimpulan dalam diri sendiri sahaja...

  • Amanah Kita Bersama

    Masing-masing membuat suatu pekerjaan berdasarkan pada kekuatan, kemampuan serta kepakaran. Kemudian kepakaran itu dikongsi untuk perolehan manfaat bersama. Inilah sikap umat Islam yang saling menguatkan...

  • Jangan Mudah Menghukum

    Bersangka baik adalah pendirian dan sikap kita yang pertama. Jika didatangkan bukti dan fakta yang jelas tentang sesuatu kesalahan, barulah tindakan mampu dikenakan, kritikan dapat dilakukan terhadap mereka yang bersalah...

  • Itukan Hukum Allah

    Apabila orang jahil berbicara tentang agama, akan bertambah rosaklah agama di tangan mereka. Di sini, saya menentang video ini dengan hati, lisan dan tulisan sebagai tangan saya. Sungguh benci dan sangat bersimpati juga dengan pelakon- pelakon video ini. Adakah mereka sedar akan keceluparan skrip yang diucap...

Tentang Cinta?

4E
Selamat tahun baru Hijrah diucapkan kepada semua. Maka luangkan
masa membaca satu perkongsian tentang perbincangan doa awal dan
akhir tahun di SINI. Semoga Allah memberkati penulis ini. Saya amat
hormat akan pandangannya, dan kagum akan hemahnya.

Santai sejenak bersama saya


Seorang penyair telah berkata tentang cinta :

Dan aku tinggalkan cintaku terhadap wanita itu tanpa rasa marah,
kerana betapa ramai lelaki lain ingin mendekatinya dengan ramah.

Samalah keadaannya jika hinggapnya lalat menghurungi makanan,
pastilah aku angkat tanganku dan berpaling tidak ingin menjamah.

Sebagaimana pasti sang singa tidak akan mendekati takungan air,
Jika takungan itu telahpun dijilat oleh anjing-anjing yang menjelir.

Santai sejenak bersama saya

Seorang jejaka melamar seorang gadis, namun hasratnya ditolak.
Tapi dia tidak bersedih. Sahabatnya bertanya : Kenapa kamu tidak
bersedih?

Jejaka tersebut menjawab : Mengapa aku patut bersedih? Aku hanya
kehilangan seorang perempuan yang tidak pernah pun mencintai aku.
Sedangkan perempuan itu kehilangan seseorang yang benar-benar
mencintainya.

5E

Tamat

Saya tidaklah berminat untuk berbicara tentang bab cinta ini. Tetapi
kali ini saya sungguh tertarik dengan syair dan cerita di atas ini. Dua
kisah yang berbeza, pengajarannya hampir sama. Apa pengajarannya?
Rasa-rasanya semua boleh faham sendiri kan.

Kredit syair tersebut kepada laman Ustaz Daud Tetouan. Dan kisah
yang kedua, saya terlupa dari laman siapa. Apapun, sumber asalnya
adalah dari Facebook juga.

Dari keduanya ini, saya belajar sesuatu. Moga sahabat yang turut
membaca juga memperolehnya.

Almizzi,
Marang, Terengganu,

25 November 2011,
Jam 0856.

Ini Jalanku

1M

Pada satu zaman yang tercemar oleh kerosakan dan perpecahan umat Islam tidak
kira ia berlaku kepada orang awam atau penuntut ilmu syariah, apakah cara yang
baik serta sesuai untuk saya membina manhaj atau pendirian? Siapakah ilmuan
agama yang dapat saya ikut dan mengambil manfaat? Semoga Allah memberkati
jalan ini :

1- Bertanya kepada Ahlu Az-Zikr tentang apa yang kita tidak tahu.

Bertanya atau rujuklah pendapat dan perkataan para ulama yang thiqah bahkan
dipercayai. Ijazah atau PhD bukan kriteria utama seseorang dari mereka, namun
ilmu serta pengetahuan yang benar itu yang didahulukan.

Rujukan di alam internet juga luas, tetapi face to face jauh lebih baik. Janganlah
pula meminta pendapat tentang hukum hudud daripada seorang artis.

2- Kaji dan nilai apa yang terbaik didasari ilmu, bukan nafsu.

Maka ikhlas itu sangat penting. Jika bertemu dua pendapat berbeza atau lebih,
cubalah, rajinkanlah diri untuk memperbanyak rujukan. Tidak mampu? Peganglah
suatu pendapat ulama yang diyakini. Dan amalkan sikap keterbukaan menerima
pendapat berbeza dari pihak lain, selagi perbezaan itu diiktiraf syarak.

Jangan malu untuk berubah jika kita berbuat salah.

3- Berbincang akan ilmu dengan ilmu, disertakan adab dan bijaksana.

Ilmu tanpa adab, orang sukar untuk percaya. Adab tanpa ilmu, ghuluw atau sikap
melampau-lampau boleh berlaku. Maka peliharalah kedua-duanya. Kebijaksanaan
juga penting untuk bergerak lebih ke hadapan, memahami perkataan para ulama
yang kekadang berbeza disebabkan suasana persekitaran.

Lahirlah golongan yang kontemporari, muncul pula golongan yang literal. Mana
satu yang betul? Pendapat saya : Satu ketika, akan ada pendapat satu pihak
yang lebih tepat dan jitu. Satu ketika juga, kedua-dua golongan ini mempunyai
pendapat yang benar. Namun ringkasnya, ada pihak ingin menyesuaikan suatu
hukum itu dengan keadaan manakala satu pihak lagi ingin menyesuaikan suatu
keadaan dengan hukum. Jujur, kadang-kadang saya turut keliru.

Perlu lebih pencerahan kerana bab ini juga, adakalanya menyebabkan berlaku
perbalahan dan perselisihan agak kritikal antara penuntut ilmu. Wallahu 'alam.

4- Elakkan sangka buruk, kritikan melulu dalam membuat penilaian.

Ingin sangat highlight perkara ini. Saban hari, saya ada juga membuka laman
web awam/biasa atau yang bersifat agama untuk membaca berita semasa atau
hal ehwal semasa, namun betapa banyak yang mengecewakan saya.

Mengetepikan hal politik, saya sangat benci dengan sikap sesetengah pihak
berstatus agamawan, lebih-lebih lagi sikap anak-anak murid para agamawan
yang cepat melatah, cepat mencaci, cepat menghina. Semuanya cepat!

Niat mereka baik. Mungkin ingin menjaga aib, menjaga nama baik atau maruah
guru/gerakan yang mereka hormati dari segala tohmahan, namun tidak kena
pula caranya. Ucapan 'kamu bodoh' berbalas 'kamu bodoh' juga.

Marah itu ada caranya. Gunalah cara yang berpahala. Apa salahnya membalas
penghinaan itu dengan adab yang baik serta hujah yang lantang. Kemudian
kita berlepas diri, beristighfar jika ada kesalahan dan kelemahan dalam diri.

5- Jika tidak mampu kesemuanya, diamlah dan teruskan belajar.

Perkara (Diam) ini adalah bab yang paling sukar. Semoga kita berusaha untuk
mengamalkannya. Elakkan diri menempah kerusi dari api neraka dek berdusta
terhadap ucapan dan ajaran Rasulullah.

Beriman kepada Allah dan hari akhirat? Ucapkanlah kata-kata yang baik atau
diam sahaja.

Alhamdulillah, selesai sudah 5 perkara.

Akhir penulisan, suka saya berkata : Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Ustaz
Asri Zainal Abidin, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Ustaz Zahazan Mohamed, Ustaz
Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ustaz Abdul Basit Abdul Rahman, Ustaz Maulana Asri,
Ustaz Azhar Idrus, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Ustaz
Fathul Bari, Ustaz Hafiz Firdaus adalah di antara ilmuan-ilmuan Islam Malaysia
yang saya kenal dan menjadi rujukan dalam selok-belok agama.

Manakala Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Ali Jumaah, Syeikh Wahbah Zuhaili,
Syeikh Nasiruddin Al-Albani, Syeikh Al-Uthaimin, Syeikh Atiyyah Saqar, Syeikh
Abdul Rahman As-Sudais adalah di antara ilmuan-ilmuan Islam luar negara yang
saya rujuk dan baca karangan-karangan mereka.

Ketahuilah bahawa pendapat mereka masing-masing mungkin berbeza. Kadang-
kadang pula, ada pendapat mereka masing-masing berubah mengikut peredaran
waktu dan masa.

Suatu ketika saya mungkin merujuk dan berpegang dengan pengajaran seorang
ulama dalam satu perkara. Suatu ketika pula, mungkin saya meninggalkan
pendapat beliau dan berpegang kepada pendapat ulama yang lain. Ia berlaku
dan tidak mustahil bagi seorang muslim berstatus mukallid, muttabi' ataupun
mujtahid juga.

Hanya satu perkara yang sama :


Saya menghormati kesemua mereka, bahkan tidak redha mereka difitnah apatah
lagi dikeji dan dihina. Sungguh zalim jika ada manusia berbuat demikian.

Suatu sudut, ikhtilaf ummati rahmah itu benar, jika diadakan dengan sederhana
dan rasa rendah diri menerima perbezaan. Bukanlah dengan rasa sombong serta
taksub yang menjauh dari insaf, kesalahan yang tiada penghujung.

Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara.

Almizzi,
Marang, Terengganu,
21 November 2011,

Jam 2132.

Berusaha Untuk 5

2M

Sebagai seorang muslim, mari kita berusaha untuk:

1- Memelihara lisan kita, sama ada pada percakapan atau pena.

Ramai manusia menempah tiket ke neraka dek celuparnya percakapan dan lidah
tak bertulang itu, serta ligatnya pena mereka menari untuk mencerca manusia
membelakangkan acuan Al-Quran dan sunnah. Kaum perempuan sangat utama
dalam isu ini. Berdebat biar beradab, berbahas biar berhemah.

Imam Malik pernah ditanya banyak soalan, namun beliau menjawab beberapa
sahaja. Bakinya beliau menjawab: Aku tidak tahu. Rahimahullah. Jangan kita
ini pula suka memandai-mandai dalam berbicara, apatah lagi berhukum.

2- Berlapang dada menerima khilaf dan perbezaan pendapat.

Orang Islam, beriman menolak bidaah dan saling menghormati khilaf. Sama ada
dalam perkara agama atau perkara dunia. Para imam 4 mazhab contohnya, pada
lembaran sejarah tercatat sejarah akan perbezaan dan perkhilafan mereka. Tapi
adakah tertulis sejarah akan permusuhan mahupun perbalahan antara mereka?

Apabila berbalah, akhirnya perkara (1) di atas berlaku sesama orang Islam.

3- Profesional ketika mengkritik atau menolak suatu pendapat.

Menolak suatu buah fikiran dan idea seseorang tidak bererti kita telah menghina
individu itu. Kita menolak pendapat seseorang berdasarkan hujah dan ilmu, dan
pada masa yang sama juga, janganlah kita menolak ideanya secara mutlak serta
menafikan kebenaran, fikiran bernasnya yang lain.

Imam Al-Iraqi, atau Imam Az-Zahabi menyebut kesilapan Imam Al-Ghazali dalam
perbincangan status beberapa hadis di dalam Ihya Ulumuddin. Namun mereka
tak sesekali menghina dan merendah-rendahkan sumbangan Imam Al-Ghazali
pada perkara yang lain. Mereka sungguh profesional.

4- Ikhlas sebelum beramal, dan juga teliti ketika beramal.

Niat serta matlamat yang murni tidak menghalalkan segala cara atau perbuatan
kita. Bukankah mencuri untuk bersedekah itu tidak wajar? Lakukan suatu kerja
berdasarkan kemahiran, kebolehan dan kemampuan. Jadikan Islam itu rujukan
utama dalam gerak kerja atau perbuatan.

Golongan Syiah ingin mengangkat darjat al-a'immah, namun keterlaluan hingga
ke tahap menjulang pemimpin kepada martabat nabi bahkan tuhan. Fahamkan.

5- Mengajak kepada kebaikan dengan hikmah dan bijaksana.

Perlu diingat bahawa ragam manusia itu pelbagai. Kadang-kadang kita perlu
sedikit berkeras dan kadang-kadang kita perlu lemah-lembut. Fahami situasi
persekitaran kita terlebih dahulu. Ada golongan yang hendak diherdik baru
buat kerja dan berubah, namun ada golongan yang gemar, mudah didekati,
dengan hemah dan senyuman. Ini ramai yang suka.

Jangan kutuk, hina sembarangan pada saudara-saudara kita yang jauh dari
Allah. Kelak jika mereka menjauh dan benci pada Islam kerana jahil serta
disebabkan sikap kita, maka berdosalah kita juga. Allah memberi hidayah
kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah menyesatkan sesiapa saja
yang dikehendaki-Nya.

Selesai 5 perkara ini. Akhirnya,

Buka Al-Quran khusus pada surah Al-Hujurat. Baca dan hayati kandungan surah
ini bermula pada ayat 10 hingga ayat 13. Itulah fokus penulisan saya kali ini.

Jika berkelapangan, hayati juga surah Al-An'am khusus pada ayat 108. Dan jika
berkelapangan lagi, hayati pula surah Al-Israk khusus pada ayat 84. Moga kita
beroleh manfaat bersama.

Cukup dengan 5 isi penting yang sedikit kan. Sukar untuk dipercayai tapi saya
mengambil masa 3-4 jam hanya kerana menulis seringkas ini. Tulis dan padam
berjaya dipraktikkan, tanda kelemahan yang tidak pernah sunyi dalam diri.

Semoga Allah sentiasa mempermudahkan urusan.

Almizzi,
Marang, Terengganu,

17 November 2011,

Jam 1504.


Iridescent

FBE1 M

Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda :

Sungguh menakjubkan perihal seorang mukmin. Semua perkara (yang menimpa,
berlaku kepadanya) adalah baik dan hal ini tidak pernah terjadi kecuali hanya
pada seorang mukmin. Jika dirinya dikurniakan kebahagiaan, maka dia akan
bersyukur dan ia adalah sesuatu yang baik kepadanya.

Jika dia ditimpa sesuatu keburukan, maka dia akan bersabar lantas ia adalah
sesuatu yang baik kepadanya. (Riwayat Imam Muslim)

Sungguh menenangkan hadis ini.


FBE3 M

Iridescent | LP

You were standing in the wake of devastation
and you were waiting on the edge of the unknown
with the cataclysm raining down
inside crying : save me now
you were there possibly alone

Do you feel cold and lost in desperation
you build up hope but failures all you've known
remember all the sadness and frustration
and let it go, let it go

And in a burst of light that blinded every angle
as if the sky had blown the heavens into stars
you felt the gravity of tempered grace
falling into empty space
no one there to catch you with their arms

Do you feel cold and lost in desperation
you build up hope but failures all you've known
remember all the sadness and frustration
and let it go, let it go

Saya bukanlah peminat tegar nasyid. Kadang-kadang, apa saja lagu yang baik
kandungannya, sederhana iramanya pun saya minat juga. Contohnya lagu ini.
Ia juga membantu merehatkan perasaan.

Moga Allah sentiasa mempermudahkan urusan.

Almizzi,
Marang, Terengganu,
12 November 2011,
Jam 2012.

Salam Aidiladha 1432H

AIDILADHA 2 MARK
Ihsan gambar : ziarah Turki pada April 2011

Selamat hari raya Aidiladha 1432H. Semoga Allah sentiasa segala mengurniakan
kepada kita 1001 rahmat, keampunan dan penerimaan segala amalan baik dalam
kehidupan seharian.

Jika berpuasa pada hari ini iaitu hari Arafah, tanamlah keyakinan dan sentiasa
bersangka baik bahawa Allah Maha Pengampun untuk memaafkan segala dosa
hamba-Nya pada setahun yang lalu, dan setahun yang akan datang. Kita ingin
menjadi hamba Allah yang sentiasa beramal dan tidak berputus asa dari limpah
rahmat-Nya.

Taqabbalallah minna solih al-a'mal, kullu 'am wa entum bikheir.

Almizzi,
Marang, Terengganu,
5 November 2011,
Jam 1609.